Friday, March 18, 2011

Cerita Dulu dan Kini – Kita Berbeza,Kita Serupa




Kesesakan jalan di Putrajaya ini nyata menguji ketahanan mental semasa aku memandu. Aku jadi kaget bila masa yang dijanjikan tidak dapat aku tepati. Aku cuba memecut di kala keadaan tidak mengizinkan.

Panggilan sahabat di pagi Jumaat yang tenang telah menjadualkan akuuntuk berada di KL Sentral pada petang ini. Perancangan mengejut ini bakal mengumpulkan sebahagian rakan-rakan seperjuangan ketika aku di UiTM satu masa dahulu. Setibanya aku di Putrajaya Sentral, Linda, Fa dan Ayu telah sedia menunggu aku yang ternyata kelewatan… ampun dan maaf aku pinta.

Pertemuan awal dengan 4 sahabat ini ternyata membawa senyuman lebar kepada semua. Gelak ketawa yang dulunya tidak asing bagi kami kini terdengar semula. Semasa menunggu ketibaan tren, sempat juga dibualkan topik-topik hangat yang sedang melanda suasana kerja kami.

Fatimah yang kini sudah beranak 3 tidak melepaskan peluang ini untuk berjumpa semula dengan kenalan lama walaupun Maryam terpaksa digendong bersama. Ketahuilah wahai Maryam, Ummi mu sangat menyayangi mu. Kami semua begitu senang dengan kehadiran si kecil ini dan aku yakin bahawa si kecil itu akan menjadi sebahagian daripada cerita yang kami semua lalui nanti.

KL Sentral ternyata berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Warga Kota Kuala Lumpur yang seperti tidak memahai erti penat bergerak pantas menuju ke destinasi masing-masing. Fesyen-fesyen terkini dapat dilihat, suara jual beli juga kedengaran. Adengan kotaraya terpapar jelas di depan mata.

Sementara menunggu kehadiran rakan-rakan lain, sempat juga aku pergi menunaikan kewajipan kepada yang Maha Esa. Aku berdoa agar persahabatan yang sekian lama terjalin ini akan diperkukuhkan dengan keberkatan dan kasih sayang daripadaNya…. Amin…

Wajah-wajah yang ditunggu tiba sudah. Lisa dan Murni telah menjelma maka cukuplah korum yang dinanti-nantikan. Makanan dipesan, perbualan diteruskan. Khabar ditanya, pengalaman dicerita, tak kurang juga rahsia dikongsi sama…. Dalam kehangatan borak bicara, tak lupa kami merancang agar pertemuan seb

egini dilakukan sekali lagi, tapi kali ini, skala yang lebih besar akan dirancang. Masing-masing mengakui bahawa persahabatan ini nyata memberi kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan. Aku bersetuju tanpa ragu…

Pertemuan pendek ini harus juga diakhiri, Maryam dan Aiman semakin resah, kasihan jiwa-jiwa kecil ini. Aku mendoakan agar mereka juga dikurniakan jalinan rakan dan sahabat yang sehebat rakan-rakan ku ini. Gambar diambil buat kenangan.

InsyaAllah kita bertemu lagi…

Azmi Nor