Wednesday, August 19, 2009

Cerita Kagum - Hari ini dan esok berbeza cerita.

Minyak kereta dah hampir habis. Indikasinya dah pun menyala, aku berhentikan kereta di stesen minyak Petronas P16, baru aku nak buka pintu, baru aku sedar yang aku tak bawa dompet. Maka kereta aku hidupkan semula dan terus pulang. Mungkin lewat petang nanti aku keluar semula untuk mengisi tangki kereta.



Entah kenapa, sehari dua ini, hatiku kurang tenang, terlalu banyak yang bersarang dalam fikiran dan terlalu sedikit tempat yang boleh aku luahkan. Aiman demam pula, dengan kehadiran pelbagai jenis penyakit di pasaran ketika ini, aku cutikan diri untuk hari ini. Andai dihantar juga Aiman ke taska, bimbang si kecil lain juga terjangkit sama.



3 minggu yang sudah, aku ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan ejen insuran. Aku berhasrat untuk membatalkan polisi aku hanya kerana aku kini sudah pun mempunyai polisi yang lain. Lagipun, boleh juga dapat duit untuk belanja hari raya nanti. Di Masjid Jamek aku menunggu. Aku ternampak satu poster di bawah jejantas LRT yang jelas maksudnya 'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'... ya.. memang betul... aku menyokong 100% dengan kenyataan tersebut dan aku mengangguk sendirian. Berjalan perlahan seorang buta dan tanpa disedari, tiang lampu isyarat dirempuhnya. Aku sedikit terkejut, si buta melambai-lambai umpama meminta bantuan, namun sekumpulan manusia yang melaluinya menjauhkan diri seperti tidak faham. Mungkin adanya aku di situ memang ditentukan. Aku merapati si buta dan seraya bertanya "abang nak lintas ke? saya tolong yek.." Yek...terima kasih". Tangan si buta aku rangkul dan kami menunggu lampu hijau. Aku pimpin dan pandu, selamat kami menyeberang ke sebelah. "Jalan baik-baik ye bang" Pesan aku kepadanya. Aku kagum sendirian. Berhati-hati... nanti riak pula jadinya.



Ejen insuran aku tiba dengan BMWnya... waahh... hebat juga bisness insuran ni kan...'masyuuuukkkk'... Cina orangnya... Mr. Lau... sepanjang perjalanan kami untuk mencari Pesuruhjaya Sumpah, hanya satu stesen radio yang berkumandang... IKIM fm... pelik jugak aku, kenapa si cina pula yang mendengar IKIM fm? Aku memang jarang mengikuti program siaran tu, ke'kagum'an mula terbentuk dalam hati aku... mungkin hidayah dah mula menusuk ke sanubari si cina ini, aku memberanikan diri untuk bertanya... 'Mr. Lau dengar IKIM??' 'Saya boleh dengar semua... saya Muslim...nama Islam saya Firdaus' !!!!!! terkesima aku!!!! Lapisan kekaguman aku bertambah beberapa tingkat lagi...



Hampir 4 minggu sudah berlalu... kes insuran aku belum selesai lagi... mana pergi si Firdaus ni?? ke Phuket rupanya... Aku dapat rasakan yang Aiman memang terkedu melihat baba nya ini meninggi suara bercakap di telefon... Macam ni kah orang pernah aku kagumi 2 3 minggu yang lepas? Hingga perkataan 'celaka' juga terpacul dari mulut si mualaf itu. Memang aku sedang dibakar amarah... Aku renung sejauh mungkin dari balkoni, dengan harapan marah aku juga tercampak jauh ke sana... Salahkah aku kerana berasa kagum?



Itulah manusia... mungkin aku juga tidak akan setenang ini jika esok tiba. Mungkin juga ramai yang meletak harapan tinggi pada diri ini, tapi hampa di hujung hari. Moga ketentuan tidak menyisihkan aku daripada yang baik... Amiinn...



Azmi Nor

Tuesday, August 18, 2009

Cerita Makan Hati - Siapa yang patut terasa???










Beberapa halaman internet aku buka sekaligus, dengan tujuan ianya akan memudahkan. Tapi untuk seseorang yang bukan pakar seperti aku, membuka beberapa halaman sekaligus sebenarnya akan melambatkan. Tapi aku tetap lakukan hanya kerana ianya memudahkan aku dan bukan pakar IT yang membawa info tersebut.

Telefon berdering dan dijawab, penuh sopan tutur kata tak kira kawan mahupun bukan. Hari-hari melaksanakan seakan rutin yang sama, kadang-kala terasa bosan. Beberapa hari yang lalu 'kenalan' lama muncul dalam bentuk 'sms'... 'ada direct line tak?' tanpa banyak soal dan bicara aku membalas dan beberapa ketika kemudian, deringan berbunyi dan aku menjawab telefon buat kesekian kalinya. Suaranya tidak berubah, rupanya terus tergambar dalam fikiran, seimbas kenangan dulu berlalu di depan mata. Aku senyum sendirian.

Setelah selesai, aku terfikir...dalam kita berbicara, tak kira dengan siapa, ada perkara yang patut dan ada perkara yang kurang patut kita luahkan. Mengapa? Hanya kerana kebanyakan kita dianugerahkan hati yang baik serta budi pekerti yang mulia. Dengan menjaga tutur kata bual bicara, sekeliling kita menjadi indah, malah hati sendiri terasa lapang. Tapi, apa yang perlu kita buat sekiranya memang perkara tersebut perlu diperkatakan? Bukankah nanti ada hati yang terguris, ada rupa yang mencuka dan tak mustahil juga ayat ini akan tersua - " TAK NAK KAWAN!!!"...

Makan Hati - itulah yang sering terjadi... antara kawan, antara jiran, suami isteri, adik abang dan yang paling berat dapat aku bayangkan ialah antara ibu atau ayah. Mengapa perlu kita suarakan juga walhal kita akan tahu akhirnya?? Apabila kehendak dan naluri tidak dipenuhi, kita sering berpaling kepada resolusi terakhir - memberontak... kerana ketika itu, pandangan mata dan akal telah dikaburkan dengan perasaan yang sedang kuat bergolak. Hanya kita yang betul dan hanya kita yang terbaik. Ramadhan bakal menjelang lagi, di akhir Ramadhan akan muncul Syahwal. Sudah lumrah, ketika itu ramai pasangan yang akan memendam rasa, hati dirobek oleh pasangannya sendiri... 'Kenapa asyik balik kampung abang je' 'Tahun lepaskan dah balik Johor''Tak kira, kali ni saya nak raya kampung saya jugak!!' - antara bait-bait yang terlalu biasa kita dengar...hmm... Aku sendiri masih belum buat keputusan, ke mana akan kami sekeluarga beraya... atau bukakah sepatutnya bukan itu yang menjadi agenda utama di bulan Ramadan nanti?

Awan gelap berkumpul di luar kamar pejabat. Aku perhatikan penuh khusyuk...