Wednesday, May 20, 2009

Cerita Ulangtahun - Perlukah kita ingat?

Sedang duduk-duduk depan komputer sambil melayari dunia internet yang semakin hari semakin galak dengan perkara-perkara baru, tiba-tiba tersentak aku melihat kalendar yang tarikh 16 Mei akan tiba tidak lama lagi. Tarikh tersebut adalah hari istimewa buat isteriku. Hmm... kota fikiranku tiba-tiba berputar ligat mencari jawapan yang sudah agak lama aku cari. Apakah perkara yang paling cocok untuk aku hadiahkan buat dia yang telah menyerikan hidupku.


Setelah aku berjaya merancang cara untuk meraikan hari tersebut, aku terfikir - perlukah kita mengingati tarikh-tarikh tertentu supaya kita tidak terlepas untuk meraikan ulangtahun sesuatu atau seseorang?? Apakah motif sesuatu ulangtahun? Andai kita sesama manusia, sudah tentu sebiji kek paling kurang akan menghiasi detik itu setiap tahun. (bagi yang mampu....) Untuk yang lebih berada, mungkin lebih dari sebiji kek boleh diadakan. Tak kurang juga hadiah dan ucapan yang diterima. Adakah itu tandanya kita disayangi dan dihargai? Besar kemungkinan...

Tapi perlukah setiap ulangtahun dihiasi dengan warna-warna sebiji kek? Ulangtahun kematian? Ulangtahun perpisahan? Banyak lagi jenis ulangtahun yang boleh kita fikirkan yang kurang melibatkan detik kebahagiaan. Bagi yang pernah bercinta, apabila cinta yang disemai tidak menjadi dan diakhiri dengan perpisahan, maka kemungkinan hari ulangtahun tersebut diselubungi airmata dan tangisan. Gambar-gambar si dia dibelek dan dicari semula untuk mengimbau kenangan silam yang kononnya menjanjikan kebahagiaan ke akhir hayat. Pada hari tersebut juga, andai terlintas dan ternampak perkara-perkara tertentu, sudah tentu imbauan memori tidak terlepas daripada fikiran. Jalan-jalan dan lorong-lorong tertentu menjadi jalan larangan, kedai-kedai dan lokasi-lokasi tertentu juga tidak terdaya untuk dikunjungi. Semata-mata penangan hari ulangtahun itu.

Aku terfikir lagi, di mana letaknya motif meraikan jika hari ini semua orang gembira menyanyikan lagu 'selamat hari jadi' untuk kita, bila esok kita mungkin bermasam muka dengan salah seorang tukang nyanyi tadi. Sewaktu kecil dulu, abah memang tidak mengajar kami sekeluarga untuk meraikan ulangtahun, walaupun ianya diadakan secara kecil-kecilan. 'toksah nak diikut benda-benda omputih tu' katanya... betulke meraikankan ulangtahun budaya ikutan yang kita pelajari dari Barat? Salahkah kalau orang yang kita sayangi diraikan dengan penuh keikhlasan? Kini aku menyedari.... sudah tentu tidak salah meraikan, cuma cara kita yang menentukan. Perlukah kita tiup lilin? Kalau tak tiup lilin, apa akan jadi? Aku tersengih sendiri memikirkan di mana logika pemikiran. Tak kurang juga yang mencadangkan agar doa selamat dan sembahyang hajat diadakan. Betul juga kan... kenapa perlu kita lari daripada landasan ajaran? Mungkin kita dah tak 'lurus' lagi untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan sebagai generasi baru. Cara apakah yang akan dilakukan oleh generasi selepas aku???

Aku hentikan sebentar persoalan yang terlalu luas skop jawapannya dan fokus kembali pada agenda aku sendiri. Tengah hari tanggal 16 Mei 2009, kami sekeluarga bertolak ke tengah kota untuk meraikan satu lagi ulangtahun yang bakal menjadi satu lagi sejarah keluarga kecil ini...



























P/S : Kami sekeluarga telah ke KLCC untuk menjamu selera di Chili's dan kemudian
buat pertama kalinya kami telah ke Aquaria. Sangat sesuai untuk aktiviti sekeluarga.


Azmi Nor

Wednesday, May 13, 2009

Cerita aku dan lagu - Apa lagu anda??







Sambil aku duduk di depan komputer riba, di sebelah ku, jendela aku luaskan agar angin malam masuk singgah agar radang malam dapat dikurangkan. Sesambil aku melewati beberapa ruang yang biasa, pelbagai lagu dimainkan di corong radio.

Setelah beberapa buah lagu diputarkan, terlintas pula sebuah lagu yang agak mengusik jiwa dan kalbu ini. Beberapa detik selepas itu, muncul pula sebuah lagu lain yang tatakala ianya dimainkan, maka kotak fikiran aku secara langsung terimbas cerita-ceriti yang berkaitan. Aku terfikir sejenak, sama ada kita sedar atau tidak, lagu-lagu yang berkumandang dari dulu hingga kini memainkan peranan yang agak penting dalam kehidupan aku. (Mungkinkah anda juga???)

Lagu kumpulan "Exists" - 'Seperti Dulu'... hhmm... masih seperti dulukah aku??? Daripada seorang anak kampung yang tidak mengenal kehidupan penuh cabaran di kota, kita aku bukan sahaja berada di tengah kota, malah aku sudahpun melintasi bumi Malaysia ini ke beberapa tanah asing seberang lautan. Daripada mengejar bas seawal pagi untuk ke sekolah yang bakal menjanjikan peluang hidup yang lebih sempurna, kini aku sudah pun memiliki pacuan aku yang sendiri. Dulu masih aku ingat detik-detik keseorangan yang kadang-kalanya mengundang keraguan dalam diri sendiri, kini tidak lagi dengan keluarga kecilku yang telah terbina. Walaupun banyak yang telah berubah, namun beberapa perkara yang hanya aku yang tahu tetap 'seperti dulu'...

'Pesan Abang' dan 'Aku Penganggur' daripada "Allahyarham Sudirman Hj. Arshad" mengulit memori yang amat mendalam. Ketika menunggu keputusan SPM tahun 1997, lagu 'Pesan Abang' sering berkumandang di corong radio mahupun di kaca televisyen. Dup dap dup dap degup jantung, semakin hari semakin dapat aku rasakan degupan jantung yang sememangnya tak sabar dan juga takut menanti keputusan. Bimbang andai aku bakal mengecewakan harapan orang tua terutama Abah, atau mungkin juga aku bakal melakar sejarah tersendiri sebagai pemecah tradisi di kalangan adik beradik... ternyata usaha dan doa aku tidak sia-sia. Pangkat satu telah aku perolehi...(kembang seketika hidungku ini...hins hins..). 'Aku Penganggur' sangat-sangat menusuk kalbu kerana ketika itu aku baru sahaja menamatkan pengajian dan bergelar graduan Universiti Teknologi Mara. Perit mencari kerja sangat terasa. Ketika lagu ini diputarkan, ketika itu aku sedang berdiri dan berhimpit di dalam bas. Baru pulang daripada salah satu temuduga di kota Kuala Lumpur yang kononnya menjanjikan seribu satu peluang masa depan yang cerah. Puluhan manusia ada dalam bas tersebut, dengan pelbagai rupa dan aroma yang tersaji, adakah aku seorang sahaja yang terasa???

Saban hari ketika fikiran runsing memikirkan bermacam persoalan dunia, dahi berkerut, fizikal memainkan bahasa badan yang menunjukkan ketidakselesaan... gatal di kepala makin menjadi-jadi... suara tangisan si kecil tak dapat dibendung lagi... anak sulung semakin tak mendengar kata... arrrrgggghhhhhh!!!!!! Sayup kedengaran suara kumpulan 'Raihan' dengan lagu nasihatnya "Senyum"... hmm... 'senyum di waktu susah, tanda ketabahan, senyum itu tanda keimanan', antara bait lagu tersebut buat aku reda dan kembali sedar ke dunia nyata...

Jadi, apakah maksud lagu dan anda?? Pada aku yang hanya seorang lelaki biasa, banyak juga kenangan yang boleh aku kaitkan. Andai Rock pilihan hati, kalau Jazz yang buat anda rileks, mungkin pop yang boleh melegakan minda ataupun irama asli yang benar-benar sesuai dengan jiwa anda... apa sahaja pilihan kita, hanya kita yang berhak menentukannya.

Aku akhiri coretan kali ini dengan sebuah lirik lagu yang terlalu istimewa... apa cerita di sebaliknya??? Mungkin hanya aku yang tahu... 12.00 pagi... hari baru dah pun bermula... Lagu apakah yang sesuai untuk hari semalam???

Azmi Nor
BUKAN LELAKI ITU

Aku bukan lelaki itu
Seperti arjuna selalu berani
Kerana cintanya
Tersanjung hingga kini
Oleh pujangga

Andai aku pujangga
Pastinya ku aturkan
Baris kata cinta
Melebur curiga dan
Rapsodi indah yang
membujuk asa... Impimu kasih ku...

Ku sadar...
Kau hanya mengharapkan
Cinta ini bagus akhirnya
Saatnya kau serah
Seluruh cinta mu kepada ku
Kau balutkan luka

Kalaulah diriku tidak serupa
Sebagaimana kau jangkakan
dapatkah aku, kau terima?

Biarlah dirimu merangkup bahgia
Sebagaimana kau idamkan
Dari ku seorang insan yang biasa
Cuma satu kesetiaan
Dapat ku berikan

Lagu : Ezad Exists
Lirik: Musrad Exists
Nyanyian : Exists

Monday, May 11, 2009

Cerita dulu sekarang - Persoalan tetap sama

Hampir 2 tahun aku menyepikan diri daripada blog aku. Blog ini sepatutnya menjadi tempat aku meluahkan buah fikiran dan membentangkan persoalan, tapi kenapa dan mengapa sepi, itu... aku sendiri tidak dapat menjawabnya.

Dalam masa hampir 2 tahun ini, pelbagai perkara telah aku lalui. Dalam diam dan tanpa sedar, banyak perkara telah mengalami perubahan. Suka duka baik buruk sering bersilih ganti. Kadang-kadang aku hanya nampak yang buruk dan ada masa hanya yang indah terpampang di mata dan hati. Mungkin kah itu hanya aku atau sememangnya kita manusia sebegitu. Hanya mengizinkan keselesaan datang bertandang tanpa memikir cabaran yang melintang, atau hanya melihat kesukaran pada sesuatu masa walaupun kita sedari yang kesenangan bakal menyusul tiba...



Setelah Bahrain aku tinggalkan pada September 2007, aku kembali ke tempat tanah tumpahnya darahku – Malaysia. Kesyukuran jelas terpalit di raut wajah, namun kesugulan hati juga tersirna di hati kerana meninggalkan sedikit sebanyak memori di bumi asing. Sekembalinya aku ke Malaysia, aku terus disajikan dengan agenda tahunan, Ramadhan dan Syahwal. Kali ini sudah tentu berbeza kerana ia akan disambut di tempat sendiri. Keluh lega sering aku suarakan, tak sabar untuk aku lalui kesemua itu bersama keluarga dan sanak saudara yang mana terpaksa aku korban sejak bertugas di luar. Hari Raya Aidilfitri disambut meriah bersama ke’sedondon’an sekeluarga bertiga




Beberapa bulan selepas itu, aku telah menerima satu tugasan yang memerlukan aku berada sekali lagi di bumi asing dan kali ini adalah Cambodia. Selama 10 hari aku ke sana. Hati gundah dan bimbang kerana aku terpaksa meninggalkan keluarga. Aku mengambil kesempatan ini untuk melihat negara orang. Mempraktikkan seni fotografi yang aku pelajari merupakan agenda lain dalam masa 10 hari tersebut.




























Kini aku telah pun kembali ke Bahagian Sumber Manusia. Beberapa kali aku ditempatkan di bahagian lain bagi menggantikan secara sementara rakan-rakan setiausaha yang lain. Pengalaman ini sangat-sangat berharga buat aku. Pelbagai cabang manusia yang dapat aku lihat dan banyak juga cabang diri yang terserlah. Aku juga hampir ‘meletup’ dalam suatu masa tersebut hanya kerana orang kita tidak pandai menggunakan konsep budi bahasa yang kita agungkan. Seandainya benar tersurat akan terjadinya letusan bahang amarah yang kian lama aku pendam, maka sejarah mungkin akan tercipta menyaksikan ‘orang kecil’ membalas menegakkan kebenaran yang sudah terang lagi bersuluh. Namun, kesedaran hati membuatkan aku waras untuk berfikir yang mana patut dan yang mana tidak. Syukur kerana diberi petunjuk oleh yang Maha Esa.



Ketetapan Si Pencipta memang tidak dapat diubah walau kita mempunyai kuasa untuk membelah bumi sekalipun. Aku telah dikurniakan zuriat buat kedua kalinya dan kali ini keluarga kecil ku ini dihadiahkan dengan kehadiran wanita kedua. ‘NurAmni Husna’ nama diberi. ‘Cahaya ketenangan dan keindahan’ tafsiran yang difahami. Moga maksud yang tersurat itu menjadikan petunjuk buat dia dalam mengharungi hari-hari yang mendatang yang sememangnya akan menjadi lebih mencabar... amin



Rakan-rakan baru juga tidak terlepas daripada menjangkau ke dalam kehidupan harian. Para kakak dan abang, tak lupa adik-adik yang mendamba pengalaman dan tunjuk ajar kita yang semakin dewasa. Rakan-rakan yang sedia ada aku eratkan seberapa daya. Dengan kehadiran teknologi terkini yang menjanjikan kemudahan dan kesempurnaan, sudah tentu ia hanya terserah kepada kita untuk menjadikan mimpi kesempurnaan itu tercapai.

Maka dengan ini, aku membuat ikrar kepada diri sendiri agar blog yang ini akan aku jadikan sumber luahan dan perkongsian. Moga dengan usaha yang kecil ini dapat lagi mematangkan lagi kehidupan ini.


Dalam sendiri aku menyaksikan lagi agenda hidup terus berlalu di depan mata serta kadangkala di sisipan pendengaran, menjanjikan lagi satu episod kehidupan kita semua.


Azmi Nor