Tuesday, April 24, 2007

Cerita Budi Bahasa - Aku Teruji

Baru pukul 10.36 pagi, perut dah lapar. Apa nak buat... penangan tidak bersarapan. Padan muka sendiri, siapa suruh bangun lewat.... "kita makan duluuuuu!!!" monolog aku sendiri...Butang "0" ku tekan lembut, 4 saat kemudian tibalah aku ke tingkat bawah. Tangan kanan memegang bekas berisi kepingan pizza semalam.

Nizar - Pembantu Pejabat, langsung mengambil bekas tersebut untuk dipanaskan. "Pizza lagi seronok makan panas-panas"... kata hati ku tak sabar...terbayangkan kelembutan serta kegebuan pizza panas...

"no madam, i'm sure he's doing it as we speak. Please be patient" - Doris - Kerani yang telah banyak berjasa pada organisasi ini. Nampak gayanya dia sedang melayan kerenah yang tak putus-putus daripada pelbagai jenis manusia di Bahrain ini. "Rambut sama hitam, hati lain-lain"... perumpamaan yang saban hari semakin membawa erti.

Aku minta Doris agar diserahkan komunikasi itu kepada ku setelah aku tahu yang "orang Malaysia" rupanya di sebelah sana. Orang Malaysia - Melayu ke, Cina ke, India ke, kita kan orang Malaysia.... adengan iklan terpapar jelas di fikiran ku. Orang kita terkenal dengan budi bahasa yang tinggi, sopan santun yang tidak terperi. Adat budaya dikagumi.... Seronok sebenarnya dapat bercakap dengan orang sendiri bila berada di tempat asing.

Seperti insan bercinta, hancur hati, merah telinga, lidah kelu sejurus aku mendengar cara orang kita berkata-kata. Hmmm.... kita kalau meminta, biarlah kena dengan caranya. Apatah lagi jika pertolongan yang dicari itu sangat-sangat diperlukan. "Baik cik... ye tuan... takpe encik... saya paham.... " begitulah yang selalu kita dengar kan?

Tak dinafikan memang ramai yang sopan santunya tinggi, budi bahasa yang teratur rapi. Tapi bila seorang datang dengan kurang budi pekerti, perilaku baik pudar hari demi hari... yang buruk juga kita ingati.... Semakin hari aku semakin teruji. Abah pernah berpesan "buat baik pada semua orang, kerana itu senjata yang paling hebat".... itu lah yang aku genggam selama ini. Namun ada kalanya genggaman itu longgar, membakar semangat "kejantanan" yang hanya tahu menggunakan kekasaran....

Aku mendail telefon... aku berterus terang... aku memberi kata putus... ku letak ganggang.... di sudut hati terbit rasa kesal... teruji dengan orang sendiri... Masa di Malaysia dulu tidak ada pun sebegini... tapi bila aku di sini - Bahrain - bermacam jenis budi pekerti menunjukkan diri... angkuh, sombong, tikam belakang, gossip liar, lupa daratan.... bermacam lagi telah aku lalui... semakin dewasa rupanya aku....

Kepala ku geleng sambil kakiku melangkah lagi....



Azmi Nor

Saturday, April 21, 2007

Cerita Dia Terpaksa - Aku Terfikir

Telefon bimbitku bergetar... lampunya juga berkelip....

Aku bergegas mendapatkannya di sudut meja. Pesanan ringkas rupanya. Memang sengaja aku tak aktifkan bunyi-bunyian yang semakin hari semakin canggih. Hari ini lagu melayu, besok lagu Inggeris pulak... dalam kes aku, lagu arab pun boleh... Walaupun satu baris aku tak faham, tapi rentak yang unik lagi mengasyikkan sudah cukup membuat orang asing seperti aku untuk meminatinya.

"askum, En. Azmi, macam mana perbicaraan hari ini? ada apa2 keputusan dicapai?" pesanan ringkas tapi cukup tegap isinya...hmm... aku kenal sangat dengan si penghantar pesanan ini.

"Wkum salam, maaf En. Deris, saya tak dapat hadir ke mahkamah pagi tadi, sibuk sikit. Tapi mereka akan telefon saya tuk bagitau progress" - berat sikit jari-jemari menekan kekunci nombor. Bukan tak nak pergi, tapi memang tak dapat untuk hadirkan diri. Namun begitu, perasaan serba salah tak dapat aku singkirkan.

Aku yang tidak berpengalaman dalam urusan naik turun mahkamah, kian hari semakin gagah mengatur langkah, merancang untuk membantu anak watan di bumi asing ini. Perbicaraan sudah berjalan hampir 6 bulan lamanya. Masih belum ada keputusan yang dicapai. 1 tahun.... 2 tahun.... 5 tahun.... aku tak tahu... yang pastinya, hukuman pasti akan dijatuhkan, dan akan bertambahlah penghuni penjara di Bahrain ini.
Penangan "Along" bukan sahaja dirasai di Malaysia, tanah air tercinta, tapi turut dibawa ke tanah yang bukan kita sebagai warganya. Akhirnya, pihak berkuasa berjaya mengesan dan tirai besi menjadi balasan. "Along" - bukan watak utama cerita kanak-kanak yang pernah ditayangkan di TV1 suatu ketika dulu. Digemari oleh setiap lapisan masyarakat. Tapi "Along" ini, tatakala tiba masanya, digeruni dan ditakuti oleh mereka yang berkaitan dengannya.

En. Deris adalah salah satu mangsa. Daripada cerita yang telah aku perolehi, isteri beliau terpaksa mengambil alih tempatnya supaya dihantarkan ke Bahrain bagi menyelesaikan sebahagian daripada hutang yang telah "terjalin" antara beliau dan "Along". Pn. Ruby - isteri En. Deris saban hari berlinang airmata kerana mengenangkan nasibnya yang belum tentu. Mungkin kehadiran aku serta kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Bahrain dapat meringankan beban yang ditanggung ketika ini.

"Kenapa boleh jadi macam ni kak?" soal aku kepadanya pertama kali kami disuakan oleh pihak berkuasa. Ketika itu, tiada lain dalam fikiran melainkan "tulah, pandai sangat pinjam duit ngan Along, kan dah kena". Aku pula yang menjatuhkan hukuman...

"apa boleh buat en. Azmi, kalau saya biarkan suami yang datang, andai jadi apa-apa pada dia, apalah saya boleh buat? Anak perlu makan pakai setiap hari sapa nak jaga? saya bukan kerja, jadi biarlah saya yang ganti. Kalau jadi apa-apa pada saya, paling tidak, saya tau anak saya selamat dengan bapak dia"....

Tersentak aku... aku pandang bawah... fikiranku kosong... aku lemparkan jauh pandangan aku ke luar.... masih kosong... tiada perkataan yang dapat aku hamburkan.... hanya hati kecil aku berkata-kata..."maafkan saya kak Ruby"... namun tak terkeluar secara lisan, tak kuat rasanya nak luahkan.

Sampai ke tahap ini rupanya seorang ibu. Aku yang masih mentah dan setahun jagung ini mana mungkin dapat memahami keadaannya. Jari telunjuk ku tanpa diarah, menolak cermin mata yang kian melurut dari posisi asal....

Setiap hari kita memerhati dan setiap masa kita diperhati. Mungkin kita tidak akan memahami selagi bukan kita yang merasai... andai aku dalam keadaan "terpaksa", mungkin lebih teruk lagi kesudahannya. Aku mengharapkan segala yang berlaku ini merupakan petunjuk dari Illahi. Hari ini kita berjaya, belum tentu esok masih milik kita. Fikiran ku jauh melayang....

Telefon bimbit bergetar lagi....


Azmi Nor

Thursday, April 19, 2007

Cerita Kawan - Suka Duka Seorang "Member"

Tatakala aku sedang menghabiskan sisa kerja yang tak pernah habis... teknologi terkini berkelip-kelip menandakan ada jasad yang cuba untuk berkomunikasi...

Eh... sahabat lama rupanya.... perbualan tanpa lisan pun bermula... hanya ketukan kekunci sesekali berbunyi... cepat... lambat.... silih bertukar... tak sangka... emosi juga boleh mempengaruhi ketukan taipan. Tergamam aku sejenak....

Kawan, sahabat, rakan, "member" - antara terma atau panggilan bagi orang yang rapat namun tiada pertalian yang selalu kita gunakan. "Kawan aku tu, jaga dia baik-baik".... ada yang menggunakan kesempatan "kawan" ini untuk kepentingan sendiri... ada yang betul-betul jaga kawan... tapi sejauh mana kita kenal "member" kita...

"Aku pernah terlanjur mie", "tu anak tiri aku", "rumah aku nak kena lelong minggu depan tau!!!", "Mak aku meninggal minggu lepas", "handphone aku hilang laaaa", "aku tak bahagia la Mie"..... macam-macam lagi ungkapan-ungkapan yang mungkin akan memberi kejutan jika kita pasang telinga dan cuba luangkan masa untuk "member" yang kita kenali... sejak dulu kita kenal dia, banyak lagi rupanya yang belum kita tahu...

Masalah, masalah dan lagi masalah... banyak masalah yang cuba dicurahkan apabila seseorang menjadi pendengar setia. Apa yang mereka perlukan hanya tempat untuk mengadu dan mencurahkan keperitan yang kian lama bersarang mahupun yang kini sedang berlaku. Masalah rumahtangga, masalah kewangan, masalah cinta, masalah hati dan perasaan, semuanya dihamburkan tanpa segan silu. Prinsip seorang rakan yang akan sentiasa menyimpan rahsia atau curahan perasaan mengesahkan bahawa "berita-berita panas dan terkini" tidak akan sampai ke pengetahuan insan lain.

Namun begitu, sejauh mana sanggup kita pergi? Sanggupkah kita berhempas pulas, habis segala penat lelah hanya untuk membantu seorang sahabat? Jawapan yang hanya mampu dijawab oleh empunya diri sendiri. Di kala kita mendengar dan memahami curahan hati si dia, belum tentu ada yang sudi menjadikan cerita kita sebahagian dari diari hidup dia.

Wahai kawan, kini aku berada di bumi asing, namun kenangan serta memori kita bersama begitu sukar tuk dilupakan. Aku renung jauh keluar jendela, jarang sungguh awan menangis di negara teluk ini. Aku suka hujan... hujan di sini membersih suasana berdebu... tapi belum tentu ianya membawa ketenangan buat kawan ku di sana....

Rintik hujan makin galak...


Azmi Nor

Wednesday, April 18, 2007

Cerita Dara - Perlukah aku Kecewa

Hari ini aku buka E-mel....

"macam mana kita nak tau perempuan itu masih dara"..... tertera secara jelas dan nyata. Isu hangat atau sengaja disuarakan kerana tiada lagi isu yang hangat...

Kalau ianya hanya mainan kata, mengapa ramai yang membalas menyuarakan buah fikiran masing-masing? Tak kiralah sama ada yang bagi tips, mahupun sindiran atau gurauan pedas... tapi nampak gaya, taktik si pemula topik ini menampakkan satu fenomena terbaru untuk dikaji pengguna emel skalian.

Sesuatu organisasi rumahtangga yang bakal didirikan sudah pasti tidak dapat lari dari isu "Teruna dan Dara". Paling tidak pun, si dara mesti menjadi bualan. 30-40 tahun yang lampau, isu ini sudah semestinya dipertikaikan. Pelbagai cara dilakukan bagi memastikan "status" dara masih ada pada si gadis. Budaya dan adat resam memang tak dapat dipisahkan. Namun begitu, hari demi hari, tahun silih berganti, kita makin tergelongsor ke dalam arus kemodenan. Kita bukan lupa adat resam, cuma masing-masing terlalu sibuk untuk mengingatkan diri sendiri betapa pentingnya asal usul kita.

Suatu ketika dahulu, andai "ditebuk tupai", maka hebohlah kampung, jatuhlah maruh diri dan keluarga. Satu tamparan hebat yang harus diterima dan dilalui selagi hayat dikandung badan. Tapi kini... kurang tupai yang dipersalahkan andai aktiviti tebuk-menebuk ditemui. Dalam persekitaran yang memerlukan kita sentiasa sempurna, kadang kala kita dihijabkan pandangan mata dan hati bagi membakar amarah kepada topik yang sebenar.

Jadi, perlukan aku kecewa kerana tiba-tiba hari ini muncul subjek "macam mana kita nak tau perempuan itu masih dara" atau patutkah aku melepaskan nafas lega kerana keprihatinan kita sebenarnya belum pudar seperti mana yang aku sangka...

Aku tersenyum sendiri sambil perhatian ku tertumpu pada balang biskut di sudut meja yang hampir kosong isinya.....


Azmi Nor