Sunday, June 19, 2011

Cerita Anak - Mereka Permata Aku Penggilap


Sempena Hari Bapa yang disambut baru-baru ini, kedengaran juga ucapan "selamat hari bapa" oleh anak-anak ku... Aku sambut dengan riang dan bangga walaupun riak wajah tidak menunjukkannya. Bukan apa, lagak tegas yang aku lakonkan mengharapkan kesannya terpahat di sanubari anak-anak kecil ku... Lantas aku terfikir... setegas mana harus aku pergi bagi mendidik anak-anak ini menjadi insan yang berguna...

Apabila aku kenang semula, semakin anak-anak ini membesar, semakin besar dan lantang suara aku lontarkan ke arah mereka. Semakin aku cuba berkeras, maka sekeras itu juga mereka cuba melawan... Tak jemu aku menonton "Super Nanny" di kaca TV memberi tunjuk ajar supaya menggunakan teknik keibu-bapaan yang sempurna, tak kurang juga buku-buku yang dibaca bagi meningkat ilmu, tak lupa juga contoh-contoh terbaik yang aku saksikan sendiri daripada segenap kehidupan, tapi apabila aku sendiri yang melakukan, umpama masih banyak kekurangan...

Apabila anak-anak ini kurang sihat dilanda penyakit, masa itu juga terkenang saat-saat aku hamburkan amarah kepada mereka... sesalan mengamit seketika... Ada juga aku mencuba cara kelembutan. Aku tahan api kemarahan dan aku balas dengan senyuman. Aku sorokkan tangan yang bakal aku layangkan dan aku gantikan dengan usapan. Namun ianya berjaya aku lakukan hanya untuk satu tempoh yang singkat, tidak berterusan.

Namun, walau apa pun yang berlaku, aku tahu yang kasih dan sayang aku pada mereka tak pernah berkurangan malah sentiasa bertambah. Gelagat dan kerenah mereka yang sentiasa berubah membuat aku tak kunjung sepi. Aku pernah terbayang akan mereka yang tidak dikurniakan kebahagian yang setara dengan aku. Kehidupan mereka mungkin sepi tanpa gelak ketawa si kecil. Rutin harian sudah tentu berbeza. Aku bersyukur pada-Nya...

"Janganlah Engkau tarik kewarasan aku dalam mengilap permata yang telah Kau kurniakan. Luaskanlah padang kesabaran yang telah Kau limpahkan kepadaku agar aku berjaya menjaga amanah Mu. Tingkatkanlah ketabahan ku andai Engkau saksikan kesukaran ku. Permudahkanlah usaha ku ini supaya kami semua Engkau berkati... Amin.. Ya Rabbal Alamin"


Azmi Nor


No comments: