Monday, February 21, 2011

Cerita Kursus - Bertambah Ilmu Semakin Maju


Petang Jumaat yang cukup terang, memang sepatutnya aku menghiasi waktu petang ku dengan halaman indah di Pasar Malam yang berlangsung setiap petang Jumaat. Namun, ketika ini aku berada di dalam bas, menuju ke Negeri Hang Tuah untuk menghadirkan diri ke satu kursus yang telah disediakan oleh Kementerian.

Pengumpulan para Setiausaha di kursus ini memang merupakan sesuatu yang amat aku nantikan. Terlalu ramai yang aku tak kenal, bukan sahaja junior, malah senior yang baru balik dari luar negeri juga turut sama hadir. Kursus ini bersekitarkan "kerahsiaan" memang cukup mencabar, namun begitu, kemahiran para penceramah yang datang sebagai pelengkap sememangnya lebih mencabar kami peserta kursus.

Kawasan dan prasarana yang disediakan di Everly Resort ini, cukup untuk menyangkakan bahawa kita berada di sini untuk bercuti bukanlah sebaliknya. Oleh kerana jadual kursus yang disediakan agak ketat dan masa terluang agak terhad, semua kesempatan yang ada telah kami pergunakan sepenuhnya. Dari aktiviti memilih jawatankuasa baru hinggalah berjalan-jalan sekitar Melaka telah kami lakukan.

Pelbagai gelagat dan kerenah telah dipertonton, sungguh seronok bila sesekali berkumpul, bertukar pandangan serta berlawak jenaka. Pengalaman bertukar ganti, panduan dan nasihat jugak tak kurang diberi. Ketika bas yang membawa kami pulang semula ke kota, ikatan persahabatan dikukuhkan semula, perkenalan baru terjalin sudah dan hari esok menjanjikan kejayaan yang lebih sempurna berbekalkan ilmu baru yang telah dicurah.


AzmiNor