Tuesday, June 28, 2011

Cerita Baik Hati - Tolong Jangan Pijak Kepala Ku...

Tugasan petang diselangi oleh bait-bait "chat" dengan beberapa kawan baru aku kenali menerusi laman sosial yang hangat lagi terkini... Masing-masing menceritakan perwatakan serta personaliti yang diminati dan diinginkan... Kita manusia, ternyata yang indah sahaja yang kita inginkan...

Namun... belum jauh perkenalan, ada pulak yang sudah berani... terlalu berani padaku... "Pinjam RM10 bleh x??"

Tidak keterlaluan kalau aku mengakui aku punyai sifat baik hati, tetapi... tolonglah.. janganlah kau salahertikan.... pengalaman aku timba cukup mematangkan dari ciri-ciri tertentu... Kalaupun dikau yakin aku seorang yang baik budi pekerti.. namun, awas... aku juga bisa berpaling arah...

Azmi Nor

Tuesday, June 21, 2011

Cerita Emosi - Janganlah Bersedih


Pagi yang indah dimulakan dengan ceramah yang bertajuk "jangan bersedih". Ternyata olahan ayat serta melodi harmoni mententeramkan jiwa serta menyuntik semangat untuk menjayakan hari ini.

Sering aku dikelilingi dengan pelbagai keadaan sama ada ianya menguntungkan ataupun menduga kewujudan aku di sesebuah lokasi. Namun apa yang penting (bukan "kerjasama" macam Wonderpets yeeekkk) adalah cara kita berada dalam sesebuah situasi tersebut. Ada kawan yang datang menceritakan masalah, ada yang hadir menyuarakan gundah. Tak kurang yang tiba dengan berita gembira dan sudah pasti ada yang berlari dengan wajah ceria.

Jangan bersedih membawa konteks pemahaman yang begitu luas... Di mana harus kita halakan kesedihan apabila ia datang? Dengan siapa perlu kita berpaling? Perkara apa yang paling utama? Ilmu dan pengalaman menjadi petunjuk paling berharga.

Pada mereka yang sedang bersedih di luar sana... jangan bersedih terlalu lama ya...


Azmi Nor

Sunday, June 19, 2011

Cerita Anak - Mereka Permata Aku Penggilap


Sempena Hari Bapa yang disambut baru-baru ini, kedengaran juga ucapan "selamat hari bapa" oleh anak-anak ku... Aku sambut dengan riang dan bangga walaupun riak wajah tidak menunjukkannya. Bukan apa, lagak tegas yang aku lakonkan mengharapkan kesannya terpahat di sanubari anak-anak kecil ku... Lantas aku terfikir... setegas mana harus aku pergi bagi mendidik anak-anak ini menjadi insan yang berguna...

Apabila aku kenang semula, semakin anak-anak ini membesar, semakin besar dan lantang suara aku lontarkan ke arah mereka. Semakin aku cuba berkeras, maka sekeras itu juga mereka cuba melawan... Tak jemu aku menonton "Super Nanny" di kaca TV memberi tunjuk ajar supaya menggunakan teknik keibu-bapaan yang sempurna, tak kurang juga buku-buku yang dibaca bagi meningkat ilmu, tak lupa juga contoh-contoh terbaik yang aku saksikan sendiri daripada segenap kehidupan, tapi apabila aku sendiri yang melakukan, umpama masih banyak kekurangan...

Apabila anak-anak ini kurang sihat dilanda penyakit, masa itu juga terkenang saat-saat aku hamburkan amarah kepada mereka... sesalan mengamit seketika... Ada juga aku mencuba cara kelembutan. Aku tahan api kemarahan dan aku balas dengan senyuman. Aku sorokkan tangan yang bakal aku layangkan dan aku gantikan dengan usapan. Namun ianya berjaya aku lakukan hanya untuk satu tempoh yang singkat, tidak berterusan.

Namun, walau apa pun yang berlaku, aku tahu yang kasih dan sayang aku pada mereka tak pernah berkurangan malah sentiasa bertambah. Gelagat dan kerenah mereka yang sentiasa berubah membuat aku tak kunjung sepi. Aku pernah terbayang akan mereka yang tidak dikurniakan kebahagian yang setara dengan aku. Kehidupan mereka mungkin sepi tanpa gelak ketawa si kecil. Rutin harian sudah tentu berbeza. Aku bersyukur pada-Nya...

"Janganlah Engkau tarik kewarasan aku dalam mengilap permata yang telah Kau kurniakan. Luaskanlah padang kesabaran yang telah Kau limpahkan kepadaku agar aku berjaya menjaga amanah Mu. Tingkatkanlah ketabahan ku andai Engkau saksikan kesukaran ku. Permudahkanlah usaha ku ini supaya kami semua Engkau berkati... Amin.. Ya Rabbal Alamin"


Azmi Nor