Wednesday, July 4, 2007

Cerita Peluh - Hari ini milik aku...


Panas sungguh rasanya, rintik peluh semakin galak mencurah... dahi, leher, badan... semua bahagian kini dibasahi keringat sendiri... tapi kini aku sedar, bukan hanya kerana sessi hari ini, tetapi sesuatu yang di depan sana yang membuat aku tak senang duduk rupanya. Tak sangka, keputusan ujian akan dibentangkan pada hari ini. Aku kini dapat merasakan degup jantung yang tidak tenang... memang aku begini andai ada keputusan yang bakal aku terima...


Hampir setahun sudah aku menyertai arena ini. Kini aku bakal meningkat ke satu tahap lagi. 'Pelik... kenapa ada 2 je warna hijau? bukan patutnya 3 ke?' Suara hati terjuah dengan pemerhatian sepintas lalu apabila "Master" mengambil tempat. Tali pinggang berwarna-warni di tangan kiri, manakala sijil-sijil pengiktirafan di tangan kanan... 'isy... ada dua je ni... kalau dua je, mesti ada yang tak lulus ni..' kebimbangan jelas terpapar di wajah ku...




Masih aku ingat lagi... seawal penglibatan aku... aku umpama makhluk asing di antara pelajar-pelajar arab yang lain... mata mereka bermain, memeriksa sekujur tubuh 'budak' Asia ini, hanya senyuman yang boleh aku balas. Mungkin agak sukar bagi mereka menerima kehadiran orang luar, mungkin mereka tidak selesa dengan kemunculan aku di sini. 'Biarlah, aku pun nak blajar jugak...' kata ku sendiri, cuba untuk mencari keserasian... Namun kini, semuanya telah berubah, aku telah menjadi sebahagian daripada mereka, seringkali aku ditegur sapa, hilai ketawa juga selalu kedengaran antara aku dan mereka. Benarlah kata peribahasa 'tak kenal maka tak cinta'...




Bayangan kegagalan kini jelas dalam fikiranku, andainya aku gagal bermaksud aku perlu bermula dari latihan asas sekali lagi. 'Aduuuhhhhh, camne ni....' suara runsing di hati kian kedengaran sendiri... tak mustahil aku gagal, setiap jurus dan langkah diperhatikan dengan cukup teliti oleh 'tok guru -tok guru' ketika ujian dijalankan, malah 'Grand Master' juga turun padang untuk menyaksikan sendiri kemajuan anak-anak didiknya. Segala tenaga telah aku kerahkan, minda juga tak henti-henti menganalisa setiap jurus yang diperturunkan...




Dulu, seketika di Malaysia, pernah aku cuba mempelajari seni warisan bangsa - SILAT, tapi hanya separuh jalan, mungkin motivasi diri ketika remaja tak semantap kini... aku kini dan dulu amat berbeza... Sejak aku memulakan latihan, aku sudah nampak perbezaan. Aku mahu budak-budak arab tau bahawa kesungguhan aku mampu menandingi mereka. Biar mereka sedar, kehadiran si melayu ini boleh mencabar kebolehan mereka. Biar mereka perhati peningkatan yang bakal aku persembahkan. Ya.. biar mereka mengangguk kepala bersetuju bahawa aku juga bisa melontar jurus segagah mereka... mungkin lebih lagi...




Hari ini, ketika ini, aku akan tahu, apakah usaha aku selama ini membuahkan hasil yang memuaskan... gusar wajahku masih terserlah... "Azmi", laungan namaku tiba-tiba terdengar... "Yes sir!" menjawab panggilan "Master"... segera aku melonjak bangun, ku susun langkah agar teguh dan rapi, kaki kanan memula destinasi, menuju ke hadapan sambil tepukan rakan-rakan mengiringi keputusan. Kegelisahan aku terjawab sudah, aku berdiri sedia di hadapan "tok Guru", tunduk hormat dan tangan kanan aku hulurkan. Salam ku disambut baik dan kedua tangan aku hulurkan.... "congratulations... you did well..." kata-kata yang disambung dengan penganugerahan tali pinggang hijau... 'Ya!... aku berjaya!'.. Riak wajah kian berubah, keyakinan diri semakin terbina... tepukan yang lain juga tak putus-putus menandakan bahawa mereka juga mengiktiraf kehadiran aku di sini...




Aku kembali ke tempat asal sambil menyaksikan rakan-rakan lain menerima anugerah masing-masing... ku genggam erat dan ku tenung jauh tali pinggang itu, jauh sudah perjalanan aku... dari sessi-sessi latihan yang memenatkan hingga pertandingan-pertandingan yang disertai, aku kini maju selangkah lagi dalam memburu cita-cita yang tak kunjung jemu...



Senyum terukir di bibir, kepuasan jelas ku paparkan kepada segenap penjuru dewan. Tak kurang ucapan tahniah diterima daripada rakan-rakan lain. Aku bersedia kini untuk pergi lebih jauh lagi... buku lima ku katup kukuh... akan aku tunggu hari esok...





Azmi Nor