Friday, June 26, 2009

Cerita Tak Jadi - Kita hanya merancang...

Petang Ahad yang mendung. Sepanjang hari hanya seketika kelibat cahaya matahari terpancar samar, bukan terik dan bukan juga hambar, namun mendung menguasai semula jadual Ahad ini. Sambil aku berdepan dengan komputer riba, sesekali pandangan aku lontarkan ke luar tingkap, menyaksikan pemandangan yang sama sejak aku menduduki rumah ini. Dari tingkat 16, sudah tentu yang di bawah hanya sekelumit daripada bentuk yang asal. Beberapa warga 'Bangladesh' sedang menyusur jalan tidak terlepas daripada pandangan.

Dah 2 hari aku demam, dan dah 2 hari juga aku kurang bermaya. Sekali-sekala demam memang terasa sangat. Badan kurang bertenaga, suhu badan tidak menentu, tekak sakit dan payau, terpikir juga aku, mungkinkah aku diserang wabak yang semakin hebat menular ke serata dunia di mana Malaysia juga tidak terlari daripadanya?? Isteriku memaksa aku untuk berjumpa denga doktor, kalau ikut aku, Panadol dan rehat sahaja, tetapi dia berkeras dan aku akur. Sebelum kehadiran demam ke atas diri aku, anak dan isteri yang dulu merasakan perit ber'demam'. Kini tiba giliran aku pula. Setelah berjumpa doktor dan preskripsi diberi, maka bermulalah episod kuarantin diri. Dengan datangnya demam ini, banyak perkara tertangguh.
Minggu lalu juga telah tertangguh beberapa perkara. Keluhan tidak sepatutnya terpacul, tapi itulah yang terjadi tatakala ketentuan ini terjadi. Sudah hampir 3 bulan aku tidak menjenguk kedua orang tua di Johor, sepatutnya hujung minggu ini aku balik ke kampung halaman, tiba-tiba sahaja peruntukan tersebut terpaksa digunakan ke tempat lain. Penghawa dingin kereta terpaksa dipulihkan setelah berbulan lamanya beroperasi di luar norma kemampuan. Kesian anak-anakku yang semestinya 'basah' apabila tiba ke sesuatu destinasi yang jauh mahupun dekat.
Minggu lalu juga, si Isteri telah menghadiahkan satu tiket untuk menonton 'Transformers' yang kini sedang hangat ditayangkan. Memang aku tak sabar untuk menontonnya, lalu aku bagi ruang kepada isteriku untuk menontonnya dahulu. Anak-anak berada di bawah jagaanku ketika itu dan kerana tindakan 'mithali' itu, aku dihadiahkan sekeping tiket olehnya. Namun, tika tiba masanya untuk aku menikmati kehebatan filem yang menjadi gilaan semua itu, Isteriku pula demam dan andainya aku pergi juga, ke mana hilangnya unsur mithali dalam sanubariku ini???
Dua hari berlalu dan isteriku kebah sudah daripada demamnya, aku melahirkan hasrat untuk melakukan 'photoshoot' di Wetland, Putrajaya. Namun apakan daya, demam beralih arah dan aku pula diuji dengan penyakit serupa. 'Photoshoot' terpaksa aku lupakan kerana kepala yang pening serta tenaga yang kurang tidak akan menghasilkan gambar yang bakal menjulang kemenangan. Walaupun ada masanya aku rasa yang demam ini telah pergi, tapi secara tiba-tiba ianya datang kembali. Dalam usia yang semakin meningkat, mungkin tubuh ini memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih ke sediakala. Aku berehat lagi... mujurlah si Isteri sangat memahami...
Ke jendela sekali lagi aku melontar pandangan, bangunan tempat kerjaku jelas kelihatan. Walaupun ianya tersergam indah di atas bukit, belum pasti menjanjikan suasana kerja yang diinginkan. Aku dalam rancangan untuk bertukar bidang, permohonan telah aku utarakan, namun ianya masih satu rancangan.... bukan aku yang menentukan...
Azmi Nor

Monday, June 1, 2009

Cerita Marah - perlu ke Elaun Marah??

Berat juga rasanya sepasang kaki aku ini untuk menanggung berat badan sendiri apatah lagi ketika menyusuri mata-mata tangga yang agak tinggi untuk sampai ke seberang sana. Cuaca pagi yang sangat cantik, matahari bersinar jernih dan tidak terik seperti pagi-pagi hari yang sudah. Namun, kelewatan aku tiba ke pejabat sedikit sebanyak mencacatkan keindahan pagi hari yang baru. 'masuk kul 9 ke?? awal sket la yek...' Ternyata... teguran 'boss' yang sedikit itu menggambarkan beliau kurang senang dengan apa yang sedang terjadi... 'sori boss..' Aku jawab ringkas...

Tiada alasan yang boleh aku berikan dan tiada tipu helah yang boleh aku adakan, hanya aku tunduk dan terus ke meja kecil untuk memulakan tugas harian. Kurang senang untuk aku bertentang mata dengan dia yang sememangnya cukup senang untuk memahami apa sahaja permasalahan yang dihadapi para pegawainya. Aku masih lagi ada sangsi dan pelik dengan situasi sekarang walaupun aku dah berada di sini selama 3 minggu. Di mana perginya 'attitude' seorang 'boss' yang sudah sekian lama menjadi igauan dan mimpi ngeri setiap pekerja? Apa yang terhidang di hadapan aku adalah seorang 'boss' yang prihatin dan sangat memahami...

'Kalau anak sakit, tak dapat datang, telefon atau sms je'... ingat lagi aku dengan ayat dia seawal pertemuan aku dengan dia... Aku pun kurang faham kenapa aku harus berasa kaget dengan anugerah sebegini. Mungkinkah pengalaman aku bersama ketua-ketua lalu yang menjadikan aku agak gabra dengan episod baru ini?? Mungkin juga... kenapa tidak... Sebelum ini ,aku pernah disajikan dengan ujian getir, berhadapan dengan 'boss' yang aku tak segan untuk gambarkan dia sebagai... 'orang besar lupa diri' (agak keterlaluan ke ni??) Senang sangat meluahkan bait-bait perkataan yang bisa, yang membakar naluri, tak kurang juga yang boleh mengundang tindakan luar kawal selain pergerakan bibir... Mujur amarah aku berjaya dikekang, andai tidak, mungkin aku akan berjaya menjadi sebahagian daripada sejarah di tempat ini... Mungkin juga tiada syarikat yang berani mengambil aku untuk bekerja dengan mereka... senyum sumbing aku terkenangkan kisah itu...(mungkin hanya aku yang tahu....)

Kenapa sesetengah daripada kita senang menghamburkan lampisan amarah mereka terhadap kita yang menolong mereka? Sedarkah mereka bahawa kita juga adalah sebahagian daripada setiap kejayaan tugasan mereka? Tidak tahukah mereka ini bahawa kewujudan kita adalah untuk memudahkan perjalanan kerja mereka? Sudah tentu mereka tahu semua ini bahkan aku yakin mereka dah terlalu manja dengan para pembantu sekalian. Sesekali aku tenung dan teliti slip gaji yang aku terima setiap bulan... antara elaun-elaun yang aku terima, tiada pun yang tertera - 'Elaun Marah'... hah.. kalau ada, sudah tentu bukan sahaja aku, ramai antara kita yang sanggup dimarahi dengan rela hati... Namun begitu... alunan lagu 'Perpisahan' oleh Anuar Zain di komputer menemankan aku untuk terfikir sejenak... Siapakah yang sudi dimarahi walaupun segunung intan menjadi taruhan... Rakan-rakan dan saudara yang berada di sekeliling kita juga pernah kita marah... Inikan pula si Ketua dengan Pembantunya... Apakah dunia akan aman jika kita tidak marah??

Aku lontarkan pandangan aku seketika ke luar sana. Sejak berpindah ke bahagian baru, bilik aku dihadiahkan 'tingkap'!! Ya, tingkap, yang sememangnya tidak ada di penempatan aku yang sudah. Tingkap ini membolehkan pandangan aku diluah jauh ke luar membolehkan deria penglihatan aku menjamu pandangan lain selain kerja yang tersedia. Aku yakin di luar sana, di desa atau di kota, di Malaysia juga di lain benua, setenang mana air di tasik, sesekali kerikil kecil dapat mengocakkan permukaan tersebut. Begitu jugalah kita... amalan dan ilmu memainkan peranan penting bagi mengawal segala tindak tanduk baik dan buruk...

Dua tiga hari yang sudah, aku menonton sebuah filem - Seven Pounds - lakonan penuh penghayatan Will Smith (pada yang belum tonton cerita ni, sangat-sangat disarankan!!!). Di mana datangnya kekuatan seseorang ini untuk berbudi pada orang lain dengan mengorbankan diri sendiri. Jika difikirkan, mesti ada yang mengatakan mustahil, tapi aku percaya, andai ada yang berjaya memikirkan cerita sedemikian, sudah tentu ianya satu perkara yang tidak mustahil dilakukan. Kadang kala kita terlalu mudah untuk meluahkan, adakalanya juga kita tidak terluah. Keduanya menghasilkan senario yang berbeza dan semalam, hari ini serta esok, sudah tentu cerita aku juga berbeza.

'Boss' tiba-tiba masuk ke bilik dan terus duduk dan memulakan bicaranya. Aku akur memasang telinga sambil pandangan sesekali aku lontarkan ke luar jendela...


Azmi Nor