Monday, June 18, 2012

Sehari di Penjara Bentong

Suka aku kongsi satu kisah lama dengan semua...


Sehari Aku di Penjara Bentong


10 Ogos 2010, AKRAB Wisma Putra mengolak satu lagi langkah dalam usaha memantapkan dan mencari ilmu bagi memastikan fungsi  yang telah diwartakan pada setiap ahlimenjadi lebih bermakna. 

Aku tidak melepaskan peluang mengikuti lawatan sambil belajar ini.  Penjara Bentong, Pahang, itulah destinasi kami pada hari itu.  Tepat pada 8.20 pagi aku tiba di ’Zebra-Crossing’, tempat berkumpul yang dijanjikan.  Ahli AKRAB lain juga tiba seorang demi seorang.  Proses beramah mesra bermula semula walaupun sememangnya kami di dalam organisasi yang sama, namun atas dasar keperluan tugas, masing-masing di unit dan bahagian yang berbeza. Aktiviti-aktiviti yang sebegini sahajalah yang dapat mengeratkan semula ikatan ukhwah yang sedia terbina. 

Gelagat dan kerenah dicampursama, tiada apa yang membezakan, hanya wajah ceria dan girang yang dipamerkan.  Sementara menunggu bas, Cik Sukanthi, Pegawai Psikologi yang mengetuai ’rombongan      Cik Kiah’ kali ini berjalan sedikit pincang kerana seliuh di kakinya.  Namun semangat jitu yang ditunjukkan jelas tidak mencalarkan sedikitpun program pada hari tersebut.

Beberapa muka baru juga mengikuti lawatan tersebut.  Tanpa segan dan silu, tiap ahli menerima kehadiran mereka dengan tangan dan hati yang terbuka.  Beberapa ahli penting tidak dapat menghadirkan diri kerana ada tugasan yang lebih penting yang perlu mereka selesaikan.  Percayalah... kami amat memahami...

Perjalanan ke  Bentong dikatakan hanya memakan masa 1 jam setengah, namun, menempuh jalan kota Kuala Lumpur di pagi hari memang agak mencabar dan kita harus bersedia untuk menerima kemungkinan yang kita akan lewat tiba.  Celoteh ahli AKRAB diteruskan di dalam bas juga.  Setelah suratkhabar Metro selesai dibaca (terima kasih Kak Saadiah!!!), aku lelap seketika.... sedarnya aku semula mendapati kami kini hampir tiba.

 Jalan kampung yang agak sempit mencabar perjalanan kami.  Namun, kami tiba juga akhirnya.  Megahnya bangunan penjara tersebut, sungguh tidak disangka, di hujung kampung, tersergam sebuah kemudahan yang mengusahakan pemulihan anak bangsa yang dikatakan keciciran.  Kehadiran kami disambut mesra oleh kakitangan Penjara Bentong.  Aku memasuki Penjara Bentong dengan perasaan bercampur baur.  Nafas ditarik sedalam mungkin, bersedia menerima setiap kemungkinan.

Kata-kata aluan diucapkan, berkenalan juga dimulakan serta taklimat diberikan.  Sebelum lawatan diteruskan, hanya ’sehelai sepinggang’ yang dibenarkan.  Segala peralatan perlulah disimpan dan seperti yang dikatakan  oleh Tuan Junaidi, ’Proses raba-raba’ harus dijalankan.  Kamera yang aku bawa hilang fungsinya....


Letih berjalan serta merta terasa, ternyata keluasan bangunan Penjara Bentong mencabar minda dan tenaga.  Kami dibawa ke lokasi pertama–Dewan Aktiviti Banduan Wanita – ’SELAMAT PAGI TUAN, SELAMAT PAGI PUAN’  Ucapan para banduanita untuk para hadirin. Bertentang mata dengan para banduan mendatangkan perasaan yang berbeza.  Aku tersepit di antara simpati dan realiti.  Raut wajah para wanita yang berseragamkan warna hijau, unggu, merah dan putih mencerita pelbagai kisah. 

’Kenapa ramai sangat banduan perempuan kat sini? Apalah sangat kesalahan yang boleh orang perempuan buat? Mungkin mencuri, menipu atau paling teruk dapat aku bayangkan mungkin melibatkan najis dadah’  terfikir aku sendiri...
Seorang banduanita disuruh berdiri.  Kami semua dikejutkan dengan fakta ringkas.  ’Beliau ditempatkan di sini di atas kesalahan MEMBUNUH!!!’  Suasana terdiam seketika.... sungguh aku tak sangka... seorang wanita 20an, lembut sungguh wajahnya, bertudung dan tenang tuturnya.  Agak tak logik... seorang bekas guru sekolah menengah mata pelajaran Bahasa Inggeris, berkelulusan Ijazah TESL yang akhirnya membunuh ibu mertuanya sendiri.

Simpati dan reality bergolak lagi....

Masa kami terlalu singkat di situ, aku terlalu ingin bertanya dan bertanya kepada banduanita di situ.  Banyak soalan yang bermain di fikiran tapi aku bimbang akan memburukkan keadaan.... kami menyarung semula sepatu yang ditanggalkan sebelum memasuki dewan tersebut untuk ke destinasi seterusnya.  Tiba-tiba gelak ketawa muncul semula... (Kak Normah,  jangan lupa kasut lagi yek!!! Hehehehehehehe)...

Para banduan yang mendiami penjara ini dibekalkan dengan ilmu, modal untuk mereka memulakan hidup baru bersama masyarakat sekeliling.  Kami dibawa ke bilik pastri.  Di sinilah mereka mempelajari cara-cara membuat kek dan pelbagai seni kulinari yang lain.  Kami dihidangkan dengan kuih-muih yang mereka hasilkan, sedia untuk dijual kepada mereka yang berminat.  Memang SODAP!!!  Ahli AKRAB tanpa segan silu menempah jumlah masing-masing.... ’Short Bread’ menjadi idaman kalbu ku!!!!

Seterusnya kami dibawa ke Dewan untuk sesi kaunseling kelompok.  Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menyertari aktiviti yang dijalankan.  Rata-rata banduan yang dikaunselingkan adalah pesalah yang ada kaitan dengan najis dadah.  Aku mendapat pengalaman ’first-hand’ apabila ditempatkan di dalam kumpulan yang mana kesemua peserta adalah HIV+...  Lontaran suara mereka tidak selemah yang disangka, mereka yakin dengan permasalahan yang ditimbulkan.  En. Almond mendengar dengan khusyuk agar tidak seorang pun yang ketinggalan.   

Menjadi salah seorang yang HIV+ sememangnya bebanan yang berat yang perlu ditanggung selagi hayat dikandung badan.  Ada yang masih merahsiakan dan ada juga yang bimbang dengan tanggapan masyarakat. Aku dan ahli AKRAB yang lain diberi peluang untuk bersuara, memberi pandangan dan buah fikiran. Sesekali kening aku berkerut dalam memahami intipati perbincangan. Aku tidak ketinggalan untuk menyuarakan pandangan ikhlas. Aku mendoakan agar mereka semua akan tabah mengharungi hari-hari mendatang.

En. Ahmad Omar – Pegawai Rundingcara membuat kesimpulan bahawa AKRAB Wisma Putra mempunya potensi untuk menjadi Kaunselor yang berjaya!!! Ternyata ungkapan tersebut membolehkan kami semua ’tersenyum ceria’. Teh O dan Nasi Ayam dihidangkan sambil kami bertukar pendapat dan pandangan dengan kakitangan penjara yang mengiringi sepanjang lawatan kami. 

Gambar diambil tanda ingatan.  Salam dihulur tanda keikhlasan. Sehari di Penjara Bentong menambah pelbagai ilmu dan pengalaman baru. Riang Kak Ju tak kunjung habis... Misteri ponteng kelas En.Amran terjawab sudah... Aturan Cik Sukanthi berjalan lancar... Sepatu Kak Normah tersarung kemas... Alunan muzik di telinga Sharmila...  Wai Ling terlelap lagi... Ahli AKRAB maju selangkah lagi.....




NORAZMI NORDIN
Ahli AKRAB Wisma Putra
Bahagian Audit Dalam
KementerianLuar Negeri