Friday, June 26, 2009

Cerita Tak Jadi - Kita hanya merancang...

Petang Ahad yang mendung. Sepanjang hari hanya seketika kelibat cahaya matahari terpancar samar, bukan terik dan bukan juga hambar, namun mendung menguasai semula jadual Ahad ini. Sambil aku berdepan dengan komputer riba, sesekali pandangan aku lontarkan ke luar tingkap, menyaksikan pemandangan yang sama sejak aku menduduki rumah ini. Dari tingkat 16, sudah tentu yang di bawah hanya sekelumit daripada bentuk yang asal. Beberapa warga 'Bangladesh' sedang menyusur jalan tidak terlepas daripada pandangan.

Dah 2 hari aku demam, dan dah 2 hari juga aku kurang bermaya. Sekali-sekala demam memang terasa sangat. Badan kurang bertenaga, suhu badan tidak menentu, tekak sakit dan payau, terpikir juga aku, mungkinkah aku diserang wabak yang semakin hebat menular ke serata dunia di mana Malaysia juga tidak terlari daripadanya?? Isteriku memaksa aku untuk berjumpa denga doktor, kalau ikut aku, Panadol dan rehat sahaja, tetapi dia berkeras dan aku akur. Sebelum kehadiran demam ke atas diri aku, anak dan isteri yang dulu merasakan perit ber'demam'. Kini tiba giliran aku pula. Setelah berjumpa doktor dan preskripsi diberi, maka bermulalah episod kuarantin diri. Dengan datangnya demam ini, banyak perkara tertangguh.
Minggu lalu juga telah tertangguh beberapa perkara. Keluhan tidak sepatutnya terpacul, tapi itulah yang terjadi tatakala ketentuan ini terjadi. Sudah hampir 3 bulan aku tidak menjenguk kedua orang tua di Johor, sepatutnya hujung minggu ini aku balik ke kampung halaman, tiba-tiba sahaja peruntukan tersebut terpaksa digunakan ke tempat lain. Penghawa dingin kereta terpaksa dipulihkan setelah berbulan lamanya beroperasi di luar norma kemampuan. Kesian anak-anakku yang semestinya 'basah' apabila tiba ke sesuatu destinasi yang jauh mahupun dekat.
Minggu lalu juga, si Isteri telah menghadiahkan satu tiket untuk menonton 'Transformers' yang kini sedang hangat ditayangkan. Memang aku tak sabar untuk menontonnya, lalu aku bagi ruang kepada isteriku untuk menontonnya dahulu. Anak-anak berada di bawah jagaanku ketika itu dan kerana tindakan 'mithali' itu, aku dihadiahkan sekeping tiket olehnya. Namun, tika tiba masanya untuk aku menikmati kehebatan filem yang menjadi gilaan semua itu, Isteriku pula demam dan andainya aku pergi juga, ke mana hilangnya unsur mithali dalam sanubariku ini???
Dua hari berlalu dan isteriku kebah sudah daripada demamnya, aku melahirkan hasrat untuk melakukan 'photoshoot' di Wetland, Putrajaya. Namun apakan daya, demam beralih arah dan aku pula diuji dengan penyakit serupa. 'Photoshoot' terpaksa aku lupakan kerana kepala yang pening serta tenaga yang kurang tidak akan menghasilkan gambar yang bakal menjulang kemenangan. Walaupun ada masanya aku rasa yang demam ini telah pergi, tapi secara tiba-tiba ianya datang kembali. Dalam usia yang semakin meningkat, mungkin tubuh ini memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih ke sediakala. Aku berehat lagi... mujurlah si Isteri sangat memahami...
Ke jendela sekali lagi aku melontar pandangan, bangunan tempat kerjaku jelas kelihatan. Walaupun ianya tersergam indah di atas bukit, belum pasti menjanjikan suasana kerja yang diinginkan. Aku dalam rancangan untuk bertukar bidang, permohonan telah aku utarakan, namun ianya masih satu rancangan.... bukan aku yang menentukan...
Azmi Nor

2 comments:

nana said...
This comment has been removed by the author.
Blue Roses said...

uiks... giler berbunga ayat kamu.... :)