Monday, May 11, 2009

Cerita dulu sekarang - Persoalan tetap sama

Hampir 2 tahun aku menyepikan diri daripada blog aku. Blog ini sepatutnya menjadi tempat aku meluahkan buah fikiran dan membentangkan persoalan, tapi kenapa dan mengapa sepi, itu... aku sendiri tidak dapat menjawabnya.

Dalam masa hampir 2 tahun ini, pelbagai perkara telah aku lalui. Dalam diam dan tanpa sedar, banyak perkara telah mengalami perubahan. Suka duka baik buruk sering bersilih ganti. Kadang-kadang aku hanya nampak yang buruk dan ada masa hanya yang indah terpampang di mata dan hati. Mungkin kah itu hanya aku atau sememangnya kita manusia sebegitu. Hanya mengizinkan keselesaan datang bertandang tanpa memikir cabaran yang melintang, atau hanya melihat kesukaran pada sesuatu masa walaupun kita sedari yang kesenangan bakal menyusul tiba...



Setelah Bahrain aku tinggalkan pada September 2007, aku kembali ke tempat tanah tumpahnya darahku – Malaysia. Kesyukuran jelas terpalit di raut wajah, namun kesugulan hati juga tersirna di hati kerana meninggalkan sedikit sebanyak memori di bumi asing. Sekembalinya aku ke Malaysia, aku terus disajikan dengan agenda tahunan, Ramadhan dan Syahwal. Kali ini sudah tentu berbeza kerana ia akan disambut di tempat sendiri. Keluh lega sering aku suarakan, tak sabar untuk aku lalui kesemua itu bersama keluarga dan sanak saudara yang mana terpaksa aku korban sejak bertugas di luar. Hari Raya Aidilfitri disambut meriah bersama ke’sedondon’an sekeluarga bertiga




Beberapa bulan selepas itu, aku telah menerima satu tugasan yang memerlukan aku berada sekali lagi di bumi asing dan kali ini adalah Cambodia. Selama 10 hari aku ke sana. Hati gundah dan bimbang kerana aku terpaksa meninggalkan keluarga. Aku mengambil kesempatan ini untuk melihat negara orang. Mempraktikkan seni fotografi yang aku pelajari merupakan agenda lain dalam masa 10 hari tersebut.




























Kini aku telah pun kembali ke Bahagian Sumber Manusia. Beberapa kali aku ditempatkan di bahagian lain bagi menggantikan secara sementara rakan-rakan setiausaha yang lain. Pengalaman ini sangat-sangat berharga buat aku. Pelbagai cabang manusia yang dapat aku lihat dan banyak juga cabang diri yang terserlah. Aku juga hampir ‘meletup’ dalam suatu masa tersebut hanya kerana orang kita tidak pandai menggunakan konsep budi bahasa yang kita agungkan. Seandainya benar tersurat akan terjadinya letusan bahang amarah yang kian lama aku pendam, maka sejarah mungkin akan tercipta menyaksikan ‘orang kecil’ membalas menegakkan kebenaran yang sudah terang lagi bersuluh. Namun, kesedaran hati membuatkan aku waras untuk berfikir yang mana patut dan yang mana tidak. Syukur kerana diberi petunjuk oleh yang Maha Esa.



Ketetapan Si Pencipta memang tidak dapat diubah walau kita mempunyai kuasa untuk membelah bumi sekalipun. Aku telah dikurniakan zuriat buat kedua kalinya dan kali ini keluarga kecil ku ini dihadiahkan dengan kehadiran wanita kedua. ‘NurAmni Husna’ nama diberi. ‘Cahaya ketenangan dan keindahan’ tafsiran yang difahami. Moga maksud yang tersurat itu menjadikan petunjuk buat dia dalam mengharungi hari-hari yang mendatang yang sememangnya akan menjadi lebih mencabar... amin



Rakan-rakan baru juga tidak terlepas daripada menjangkau ke dalam kehidupan harian. Para kakak dan abang, tak lupa adik-adik yang mendamba pengalaman dan tunjuk ajar kita yang semakin dewasa. Rakan-rakan yang sedia ada aku eratkan seberapa daya. Dengan kehadiran teknologi terkini yang menjanjikan kemudahan dan kesempurnaan, sudah tentu ia hanya terserah kepada kita untuk menjadikan mimpi kesempurnaan itu tercapai.

Maka dengan ini, aku membuat ikrar kepada diri sendiri agar blog yang ini akan aku jadikan sumber luahan dan perkongsian. Moga dengan usaha yang kecil ini dapat lagi mematangkan lagi kehidupan ini.


Dalam sendiri aku menyaksikan lagi agenda hidup terus berlalu di depan mata serta kadangkala di sisipan pendengaran, menjanjikan lagi satu episod kehidupan kita semua.


Azmi Nor


1 comment:

whizatie said...

moga terus bahagia bersama keluarga ...