Monday, November 2, 2009

Cerita Integriti - Di Mana Nilai Diri...

Menyusuri jalan-jalan yang sesak di Bandaraya Bersejarah, Melaka sememangnya mencampuradukan perasaan diri. Melaka yang terkenal dengan kesan peninggalan sejarahnya saban hari dipenuhi oleh segenap lapisan masyarakat. Baik yang datang dari serata Malaysia mahupun yang hadir dari segenap pelusuk dunia. Cuaca yang tidak menentu tidak sedikit pun menghalang mereka daripada mengenali dengan lebih lanjut bandaraya ini.

Bengkel Pemantapan Integriti kali ini diadakan di Melaka. Lebih tepat lagi, Hotel Lisbon, Melaka. Dengan berbekalkan 19 orang peserta terdiri daripada Pembantu Tadbir Kesetiausahaan, kami bertolak dari pejabat lebih kurang 4.30 petang Jumaat. Masing-masing ceria, senyuman terukir apabila berkumpul sekali-sekala bersama rakan sejawat. Berbagai cerita boleh dikongsi, berbagai soalan boleh diajukan dan yang paling penting silaturrahim yang dapat dieratkan. Perjalanan terhenti seketika, bas yang dinaiki mengalami masalah teknikal. Renyai hujan menyuramkan lagi suasana. Namun, celoteh dan gurau senda peserta berjaya menggamatkan keadaan dan masa yang berlalu kurang dirasia Berkat usaha dan kesabaran pemandu, masalah dapat diatasi dan kami meneruskan perjalanan yang tadi terhenti seketika. Kami semua selamat sampai ke destinasi walaupun sedikit terlewat.

Ken
apa perlu ada bengkel untuk menerangkan 'integriti' sedangkan ianya sepatutnya ada dalam diri kita? Malah apabila ianya digabungkan dengan panduan dan rujukan agama, integriti itu terlalu berkait rapat dengan bagaimana kita menguruskan setiap perkara setiap hari. Nilai-nilai murni yang ada dalam diri kita sering teruji dengan persekitaran. Ianya mudah terpesong dari landasan yang sepantutnya. Dan apabila kita tidak lagi mengendahkan suara kecil yang mengajak kepada kebaikan, maka tidak lagi bermakna apabila kita mengetahui sejauh mana kebolehan diri. Para Ustaz dan Dr. yang datang memberikan ceramah tidak henti-henti menekankan kepentingan unsur integriti dalam jati diri masing-masing agar ianya dapat memberikan kesan dan hasil yang memberansangkan.

Rakan-rakan sejawat juga tidak jemu menimba ilmu memperkasakan diri dan minda bagi menempuh hari-hari mendatang dengan lebih bersedia. Walaupun ada kalanya perhatian sedikit terpesong daripada para penceramah di depan, tapi masing-masing berjaya bangkit berkat nilai integriti yang semakin tersemat di hati. Dalam masa kita menimba ilmu, riadah dan santai tidak harus dilupakan. Kami dibawa untuk bersiar sambil mengenali lebih dalam perihal Melaka, namun sekali lagi, cuaca petang yang tidak dapat dikawal telah memendekkan lawatan kali ini. Bengkel kali ini diakhiri dengan ikatan ukhwah yang lebih erat serta pengetahuan yang pasti lebih daripada sebelumnya. Dalam perjalanan pulang, di dalam bas, suasana sunyi seketika, aku dan rakan-rakan melelapkan mata. Kami yakin hari esok akan kami tempuh dengan nilai jati diri yang lebih sempurna.


Azmi Nor

p/s: Disertakan di sini beberapa keping gambar untuk kenangan bersama














No comments: