Deringan telefon bimbit mengejutkan aku daripada lamunan tidur yang nyenyak. Tatakala itu tersedarnya aku, bersedia untuk bersahur pula. Hati tenang dan gembira kerana setelah 7 kali berpuasa dan berhari raya di rantauan, kini aku telah pulang ke tanah air tercinta. Sebelum aku pulang dari bumi arab 2 minggu yang lepas, beberapa artikel terkini mengenai Malaysia telah aku tatap. 'Bunuh sana, rompak sini, curi sana, samun sini', dan berbagai macam lagi artikel yang menggambarkan Malaysia kini tidak lagi seaman dulu. Mungkin ianya sejajar dengan peredaran masa yang memerlukan kita berubah, atau ianya hanya sekadar manusia yang terjerat dalam arus perubahan.
Setibanya aku di KLIA, aku sekeluarga disambut mesra rakan-rakan. Aku rasa, kalau mereka ini semua tidak wujud, maka punahlah sebahagian daripada kehidupanku. Aku sangat bertuah kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang baik. Sanggup habiskan masa dan tenaga untuk kesenangan orang lain. Dalam kita sibuk menyelusuri hari-hari yang semakin mencabar, semakin kita saksikan nilai-nilai murni jati diri semakin disambar dari pegangan kita orang timur yang suatu masa dulu teramat kaya dengannya. Kini hari demi hari kita disemaikan dengan gaya yang baru, tiada lagi adab sopan telus bahasa, namun bertambahnya kurang ajar budi bicara. Didikan daripada yang tua kepada generasi muda dipandang sebelah mata. Tolong menolong bukan lagi amalan bakti, tapi kini disusuli resit pengganti diri.
Sejak aku mula lapor diri hari itu, rakan-rakanlah yang menghantar aku pergi balik ke tempat kerja. Mereka jugalah yang menghantar bukan sahaja aku, malah keluarga ku juga ke serata tempat. Segan tak terkata aku, 'aku mesti dapatkan segera' bisik hati. Pengangkutan menjadi isu utama buat aku. Harus aku dapatkan walau dengan apa cara sekalipun! Setelah hampir 3 minggu, aku bertukar kepada Bas pula, biarlah aku susah sendiri, daripada dikeji kemudian hari.
Abah pernah berpesan 'menerima budi biar berhati-hati, senyum di bibir bukan selamanya, hendak ditegur gelisah sendiri jadinya'. Pesan itu aku pegang. Ada kebenarannya, andai budi sesama saudara, lagi teruk jika sebarang masalah timbul.
Aku berjalan ke tempat menunggu bas, lebih kurang 5 minit daripada apartment yang aku tumpang sekarang. Satu demi satu bas datang, tapi tidak ada yang akan melalui 'kantor' ku. Dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, lebih mendalam rasa tawakal aku pada Pencipta. Sesungguhnya dia lebih mengetahui apa yang tersurat dan tersirat. Tiba-tiba sahaja sebuah 'Kancil' berhenti di depan ku...
"Encik nak kemana?" soalnya setelah tingkap dibuka. "eh... minah ni main berhenti je.. kenal pun tak"... suara hati aku tergerak memberi ulasan. "kalau time sekarang ni, bas memang kurang, encik nak kemana, boleh saya tumpangkan"... penjelasan lanjut daripada si gadis itu, meyakinkan lagi bahawa tiada bahayanya dia padaku... "Wisma Putra, saya kerja kat situ" lalu aku menjawab spontan. "aaa kalu gitu naiklah, saya antakan"...
Ketika punggung ku labuhkan ke tempat duduk, tali keledar ku lingkarkan, baru ku sedar, masih ada yang sudi, budi bahasa kita belum lagi tercemar seperti mana yang aku sangkakan... "ada lagi orang macam cik yek, sudi tolong orang yang cik tak kenal"... ayat ku pemula bicara... "takpe... saya dulu pun pernah susah" katanya... Cik Rozita namanya... kereta kecilnya itu berjalan lancar menerusi jalan indah di Putrajaya. Kota baru yang disergami dengan bangunan-bangunan indah melambangkan pencapaian manusia. 'Terima kasih banyak-banyak cik Rozita" "sama-sama" senyum terukir mata bertentang, Ya Allah Ya Tuhanku, mungkin budi ini sangat kecil baginya, tapi bagiku yang kekurangan ini, ianya sangat tinggi nilainya. Ku mohon padamu agar janganlah Kau padamkan ingatanku pada perkara hari ini, agar ianya menjadi petunjuk buatku di kemudian hari... amin...
Pengetahuan kita sebagai manusia sememangnya cetek... tatakala kita menyangka sesuatu telah tiada, nah... tiba-tiba ia muncul semula... tiap budi yang disemai bakal membuahkan ujian buat diri kita serta si penerima budi, terserah bagaimana kita menghadapinya. Hari ini kita mungkin dilimpahi rezeki yang tak kunjung sudah, tapi esok lusa musibah datang menjenguk dan singgah.
AZMI NOR
1 comment:
weh mieee..
sapa rozita tu..
ko x mntak no. tepon dia ka?
dia pn keje situ ke?
Post a Comment