Sehari Aku
di Penjara Bentong
10 Ogos 2010, AKRAB Wisma Putra mengolak satu lagi langkah
dalam usaha memantapkan dan mencari ilmu bagi memastikan fungsi yang telah diwartakan pada setiap ahlimenjadi lebih
bermakna.
Aku tidak melepaskan peluang mengikuti lawatan sambil belajar ini. Penjara
Bentong, Pahang, itulah destinasi kami pada hari itu. Tepat pada 8.20
pagi aku tiba di ’Zebra-Crossing’, tempat berkumpul yang dijanjikan. Ahli
AKRAB lain juga tiba seorang demi seorang. Proses beramah mesra bermula
semula walaupun sememangnya kami di dalam organisasi yang sama, namun atas
dasar keperluan tugas, masing-masing di unit dan bahagian yang berbeza.
Aktiviti-aktiviti yang sebegini sahajalah yang dapat mengeratkan semula ikatan
ukhwah yang sedia terbina.
Gelagat dan kerenah dicampursama, tiada apa yang membezakan, hanya wajah ceria dan girang
yang dipamerkan. Sementara menunggu bas, Cik Sukanthi, Pegawai Psikologi
yang mengetuai ’rombongan Cik Kiah’
kali ini berjalan sedikit pincang kerana seliuh di kakinya. Namun
semangat jitu yang ditunjukkan jelas tidak mencalarkan sedikitpun program pada
hari tersebut.
Beberapa muka baru juga mengikuti lawatan tersebut. Tanpa segan dan silu, tiap ahli
menerima kehadiran mereka dengan tangan dan hati yang terbuka. Beberapa
ahli penting tidak dapat menghadirkan diri kerana ada tugasan yang lebih
penting yang perlu mereka selesaikan. Percayalah... kami amat memahami...
Perjalanan ke Bentong dikatakan hanya memakan masa 1 jam setengah, namun, menempuh jalan
kota Kuala Lumpur di pagi hari memang agak mencabar dan kita harus bersedia
untuk menerima kemungkinan yang kita akan lewat tiba. Celoteh ahli AKRAB
diteruskan di dalam bas juga. Setelah suratkhabar Metro selesai dibaca
(terima kasih Kak Saadiah!!!), aku lelap seketika.... sedarnya aku semula
mendapati kami kini hampir tiba.
Jalan kampung yang agak sempit mencabar perjalanan kami. Namun, kami tiba juga
akhirnya. Megahnya bangunan penjara tersebut, sungguh tidak disangka, di hujung
kampung, tersergam sebuah kemudahan yang mengusahakan pemulihan anak bangsa
yang dikatakan keciciran. Kehadiran kami disambut mesra oleh kakitangan
Penjara Bentong. Aku memasuki Penjara Bentong dengan perasaan bercampur
baur. Nafas ditarik sedalam mungkin, bersedia menerima setiap
kemungkinan.
Kata-kata aluan diucapkan, berkenalan juga dimulakan serta taklimat
diberikan. Sebelum lawatan diteruskan, hanya ’sehelai sepinggang’ yang
dibenarkan. Segala peralatan perlulah disimpan dan seperti yang
dikatakan oleh Tuan Junaidi, ’Proses raba-raba’ harus dijalankan.
Kamera yang aku bawa hilang fungsinya....
Letih berjalan serta merta terasa, ternyata keluasan bangunan Penjara Bentong mencabar
minda dan tenaga. Kami dibawa ke lokasi pertama–Dewan Aktiviti Banduan
Wanita – ’SELAMAT PAGI TUAN, SELAMAT PAGI PUAN’ Ucapan para banduanita
untuk para hadirin. Bertentang mata dengan para banduan mendatangkan perasaan
yang berbeza. Aku tersepit di antara simpati dan realiti. Raut
wajah para wanita yang berseragamkan warna hijau, unggu, merah dan putih
mencerita pelbagai kisah.
’Kenapa ramai sangat banduan perempuan kat sini? Apalah sangat kesalahan yang boleh
orang perempuan buat? Mungkin mencuri, menipu atau paling teruk dapat aku
bayangkan mungkin melibatkan najis dadah’ terfikir aku sendiri...
Seorang banduanita disuruh berdiri. Kami semua dikejutkan dengan fakta
ringkas. ’Beliau ditempatkan di sini di atas kesalahan MEMBUNUH!!!’
Suasana terdiam seketika.... sungguh aku tak sangka... seorang wanita 20an,
lembut sungguh wajahnya, bertudung dan tenang tuturnya. Agak tak logik...
seorang bekas guru sekolah menengah mata pelajaran Bahasa Inggeris,
berkelulusan Ijazah TESL yang akhirnya membunuh ibu mertuanya sendiri.
Simpati dan reality bergolak lagi....
Masa kami terlalu singkat di situ, aku terlalu ingin bertanya dan bertanya kepada
banduanita di situ. Banyak soalan yang bermain di fikiran tapi aku
bimbang akan memburukkan keadaan.... kami menyarung semula sepatu yang
ditanggalkan sebelum memasuki dewan tersebut untuk ke destinasi
seterusnya. Tiba-tiba gelak ketawa muncul semula... (Kak Normah,
jangan lupa kasut lagi yek!!! Hehehehehehehe)...
Para banduan yang mendiami penjara ini dibekalkan dengan ilmu, modal untuk mereka memulakan
hidup baru bersama masyarakat sekeliling. Kami dibawa ke bilik
pastri. Di sinilah mereka mempelajari cara-cara membuat kek dan pelbagai
seni kulinari yang lain. Kami dihidangkan dengan kuih-muih yang mereka
hasilkan, sedia untuk dijual kepada mereka yang berminat. Memang
SODAP!!! Ahli AKRAB tanpa segan silu menempah jumlah masing-masing....
’Short Bread’ menjadi idaman kalbu ku!!!!
Seterusnya kami dibawa ke Dewan untuk sesi kaunseling kelompok. Kami dipecahkan
kepada beberapa kumpulan untuk menyertari aktiviti yang dijalankan.
Rata-rata banduan yang dikaunselingkan adalah pesalah yang ada kaitan dengan
najis dadah. Aku mendapat pengalaman ’first-hand’ apabila ditempatkan di
dalam kumpulan yang mana kesemua peserta adalah HIV+... Lontaran suara
mereka tidak selemah yang disangka, mereka yakin dengan permasalahan yang
ditimbulkan. En. Almond mendengar dengan khusyuk agar tidak seorang pun
yang ketinggalan.
Menjadi salah seorang yang HIV+ sememangnya bebanan yang berat yang perlu ditanggung
selagi hayat dikandung badan. Ada yang masih merahsiakan dan ada juga
yang bimbang dengan tanggapan masyarakat. Aku dan ahli AKRAB yang lain diberi
peluang untuk bersuara, memberi pandangan dan buah fikiran. Sesekali kening aku
berkerut dalam memahami intipati perbincangan. Aku tidak ketinggalan untuk
menyuarakan pandangan ikhlas. Aku mendoakan agar mereka semua akan tabah
mengharungi hari-hari mendatang.
En. Ahmad Omar – Pegawai Rundingcara membuat kesimpulan bahawa AKRAB Wisma Putra
mempunya potensi untuk menjadi Kaunselor yang berjaya!!! Ternyata ungkapan
tersebut membolehkan kami semua ’tersenyum ceria’. Teh O dan Nasi Ayam
dihidangkan sambil kami bertukar pendapat dan pandangan dengan kakitangan penjara
yang mengiringi sepanjang lawatan kami.
Gambar diambil tanda ingatan. Salam dihulur tanda keikhlasan. Sehari di Penjara
Bentong menambah pelbagai ilmu dan pengalaman baru. Riang Kak Ju tak kunjung
habis... Misteri ponteng kelas En.Amran terjawab sudah... Aturan Cik Sukanthi
berjalan lancar... Sepatu Kak Normah tersarung kemas... Alunan muzik
di telinga Sharmila... Wai Ling terlelap lagi... Ahli AKRAB maju
selangkah lagi.....
Ahli AKRAB Wisma Putra
Bahagian Audit Dalam
KementerianLuar Negeri