Monday, June 18, 2012

Sehari di Penjara Bentong

Suka aku kongsi satu kisah lama dengan semua...


Sehari Aku di Penjara Bentong


10 Ogos 2010, AKRAB Wisma Putra mengolak satu lagi langkah dalam usaha memantapkan dan mencari ilmu bagi memastikan fungsi  yang telah diwartakan pada setiap ahlimenjadi lebih bermakna. 

Aku tidak melepaskan peluang mengikuti lawatan sambil belajar ini.  Penjara Bentong, Pahang, itulah destinasi kami pada hari itu.  Tepat pada 8.20 pagi aku tiba di ’Zebra-Crossing’, tempat berkumpul yang dijanjikan.  Ahli AKRAB lain juga tiba seorang demi seorang.  Proses beramah mesra bermula semula walaupun sememangnya kami di dalam organisasi yang sama, namun atas dasar keperluan tugas, masing-masing di unit dan bahagian yang berbeza. Aktiviti-aktiviti yang sebegini sahajalah yang dapat mengeratkan semula ikatan ukhwah yang sedia terbina. 

Gelagat dan kerenah dicampursama, tiada apa yang membezakan, hanya wajah ceria dan girang yang dipamerkan.  Sementara menunggu bas, Cik Sukanthi, Pegawai Psikologi yang mengetuai ’rombongan      Cik Kiah’ kali ini berjalan sedikit pincang kerana seliuh di kakinya.  Namun semangat jitu yang ditunjukkan jelas tidak mencalarkan sedikitpun program pada hari tersebut.

Beberapa muka baru juga mengikuti lawatan tersebut.  Tanpa segan dan silu, tiap ahli menerima kehadiran mereka dengan tangan dan hati yang terbuka.  Beberapa ahli penting tidak dapat menghadirkan diri kerana ada tugasan yang lebih penting yang perlu mereka selesaikan.  Percayalah... kami amat memahami...

Perjalanan ke  Bentong dikatakan hanya memakan masa 1 jam setengah, namun, menempuh jalan kota Kuala Lumpur di pagi hari memang agak mencabar dan kita harus bersedia untuk menerima kemungkinan yang kita akan lewat tiba.  Celoteh ahli AKRAB diteruskan di dalam bas juga.  Setelah suratkhabar Metro selesai dibaca (terima kasih Kak Saadiah!!!), aku lelap seketika.... sedarnya aku semula mendapati kami kini hampir tiba.

 Jalan kampung yang agak sempit mencabar perjalanan kami.  Namun, kami tiba juga akhirnya.  Megahnya bangunan penjara tersebut, sungguh tidak disangka, di hujung kampung, tersergam sebuah kemudahan yang mengusahakan pemulihan anak bangsa yang dikatakan keciciran.  Kehadiran kami disambut mesra oleh kakitangan Penjara Bentong.  Aku memasuki Penjara Bentong dengan perasaan bercampur baur.  Nafas ditarik sedalam mungkin, bersedia menerima setiap kemungkinan.

Kata-kata aluan diucapkan, berkenalan juga dimulakan serta taklimat diberikan.  Sebelum lawatan diteruskan, hanya ’sehelai sepinggang’ yang dibenarkan.  Segala peralatan perlulah disimpan dan seperti yang dikatakan  oleh Tuan Junaidi, ’Proses raba-raba’ harus dijalankan.  Kamera yang aku bawa hilang fungsinya....


Letih berjalan serta merta terasa, ternyata keluasan bangunan Penjara Bentong mencabar minda dan tenaga.  Kami dibawa ke lokasi pertama–Dewan Aktiviti Banduan Wanita – ’SELAMAT PAGI TUAN, SELAMAT PAGI PUAN’  Ucapan para banduanita untuk para hadirin. Bertentang mata dengan para banduan mendatangkan perasaan yang berbeza.  Aku tersepit di antara simpati dan realiti.  Raut wajah para wanita yang berseragamkan warna hijau, unggu, merah dan putih mencerita pelbagai kisah. 

’Kenapa ramai sangat banduan perempuan kat sini? Apalah sangat kesalahan yang boleh orang perempuan buat? Mungkin mencuri, menipu atau paling teruk dapat aku bayangkan mungkin melibatkan najis dadah’  terfikir aku sendiri...
Seorang banduanita disuruh berdiri.  Kami semua dikejutkan dengan fakta ringkas.  ’Beliau ditempatkan di sini di atas kesalahan MEMBUNUH!!!’  Suasana terdiam seketika.... sungguh aku tak sangka... seorang wanita 20an, lembut sungguh wajahnya, bertudung dan tenang tuturnya.  Agak tak logik... seorang bekas guru sekolah menengah mata pelajaran Bahasa Inggeris, berkelulusan Ijazah TESL yang akhirnya membunuh ibu mertuanya sendiri.

Simpati dan reality bergolak lagi....

Masa kami terlalu singkat di situ, aku terlalu ingin bertanya dan bertanya kepada banduanita di situ.  Banyak soalan yang bermain di fikiran tapi aku bimbang akan memburukkan keadaan.... kami menyarung semula sepatu yang ditanggalkan sebelum memasuki dewan tersebut untuk ke destinasi seterusnya.  Tiba-tiba gelak ketawa muncul semula... (Kak Normah,  jangan lupa kasut lagi yek!!! Hehehehehehehe)...

Para banduan yang mendiami penjara ini dibekalkan dengan ilmu, modal untuk mereka memulakan hidup baru bersama masyarakat sekeliling.  Kami dibawa ke bilik pastri.  Di sinilah mereka mempelajari cara-cara membuat kek dan pelbagai seni kulinari yang lain.  Kami dihidangkan dengan kuih-muih yang mereka hasilkan, sedia untuk dijual kepada mereka yang berminat.  Memang SODAP!!!  Ahli AKRAB tanpa segan silu menempah jumlah masing-masing.... ’Short Bread’ menjadi idaman kalbu ku!!!!

Seterusnya kami dibawa ke Dewan untuk sesi kaunseling kelompok.  Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menyertari aktiviti yang dijalankan.  Rata-rata banduan yang dikaunselingkan adalah pesalah yang ada kaitan dengan najis dadah.  Aku mendapat pengalaman ’first-hand’ apabila ditempatkan di dalam kumpulan yang mana kesemua peserta adalah HIV+...  Lontaran suara mereka tidak selemah yang disangka, mereka yakin dengan permasalahan yang ditimbulkan.  En. Almond mendengar dengan khusyuk agar tidak seorang pun yang ketinggalan.   

Menjadi salah seorang yang HIV+ sememangnya bebanan yang berat yang perlu ditanggung selagi hayat dikandung badan.  Ada yang masih merahsiakan dan ada juga yang bimbang dengan tanggapan masyarakat. Aku dan ahli AKRAB yang lain diberi peluang untuk bersuara, memberi pandangan dan buah fikiran. Sesekali kening aku berkerut dalam memahami intipati perbincangan. Aku tidak ketinggalan untuk menyuarakan pandangan ikhlas. Aku mendoakan agar mereka semua akan tabah mengharungi hari-hari mendatang.

En. Ahmad Omar – Pegawai Rundingcara membuat kesimpulan bahawa AKRAB Wisma Putra mempunya potensi untuk menjadi Kaunselor yang berjaya!!! Ternyata ungkapan tersebut membolehkan kami semua ’tersenyum ceria’. Teh O dan Nasi Ayam dihidangkan sambil kami bertukar pendapat dan pandangan dengan kakitangan penjara yang mengiringi sepanjang lawatan kami. 

Gambar diambil tanda ingatan.  Salam dihulur tanda keikhlasan. Sehari di Penjara Bentong menambah pelbagai ilmu dan pengalaman baru. Riang Kak Ju tak kunjung habis... Misteri ponteng kelas En.Amran terjawab sudah... Aturan Cik Sukanthi berjalan lancar... Sepatu Kak Normah tersarung kemas... Alunan muzik di telinga Sharmila...  Wai Ling terlelap lagi... Ahli AKRAB maju selangkah lagi.....




NORAZMI NORDIN
Ahli AKRAB Wisma Putra
Bahagian Audit Dalam
KementerianLuar Negeri

  

Tuesday, June 28, 2011

Cerita Baik Hati - Tolong Jangan Pijak Kepala Ku...

Tugasan petang diselangi oleh bait-bait "chat" dengan beberapa kawan baru aku kenali menerusi laman sosial yang hangat lagi terkini... Masing-masing menceritakan perwatakan serta personaliti yang diminati dan diinginkan... Kita manusia, ternyata yang indah sahaja yang kita inginkan...

Namun... belum jauh perkenalan, ada pulak yang sudah berani... terlalu berani padaku... "Pinjam RM10 bleh x??"

Tidak keterlaluan kalau aku mengakui aku punyai sifat baik hati, tetapi... tolonglah.. janganlah kau salahertikan.... pengalaman aku timba cukup mematangkan dari ciri-ciri tertentu... Kalaupun dikau yakin aku seorang yang baik budi pekerti.. namun, awas... aku juga bisa berpaling arah...

Azmi Nor

Tuesday, June 21, 2011

Cerita Emosi - Janganlah Bersedih


Pagi yang indah dimulakan dengan ceramah yang bertajuk "jangan bersedih". Ternyata olahan ayat serta melodi harmoni mententeramkan jiwa serta menyuntik semangat untuk menjayakan hari ini.

Sering aku dikelilingi dengan pelbagai keadaan sama ada ianya menguntungkan ataupun menduga kewujudan aku di sesebuah lokasi. Namun apa yang penting (bukan "kerjasama" macam Wonderpets yeeekkk) adalah cara kita berada dalam sesebuah situasi tersebut. Ada kawan yang datang menceritakan masalah, ada yang hadir menyuarakan gundah. Tak kurang yang tiba dengan berita gembira dan sudah pasti ada yang berlari dengan wajah ceria.

Jangan bersedih membawa konteks pemahaman yang begitu luas... Di mana harus kita halakan kesedihan apabila ia datang? Dengan siapa perlu kita berpaling? Perkara apa yang paling utama? Ilmu dan pengalaman menjadi petunjuk paling berharga.

Pada mereka yang sedang bersedih di luar sana... jangan bersedih terlalu lama ya...


Azmi Nor

Sunday, June 19, 2011

Cerita Anak - Mereka Permata Aku Penggilap


Sempena Hari Bapa yang disambut baru-baru ini, kedengaran juga ucapan "selamat hari bapa" oleh anak-anak ku... Aku sambut dengan riang dan bangga walaupun riak wajah tidak menunjukkannya. Bukan apa, lagak tegas yang aku lakonkan mengharapkan kesannya terpahat di sanubari anak-anak kecil ku... Lantas aku terfikir... setegas mana harus aku pergi bagi mendidik anak-anak ini menjadi insan yang berguna...

Apabila aku kenang semula, semakin anak-anak ini membesar, semakin besar dan lantang suara aku lontarkan ke arah mereka. Semakin aku cuba berkeras, maka sekeras itu juga mereka cuba melawan... Tak jemu aku menonton "Super Nanny" di kaca TV memberi tunjuk ajar supaya menggunakan teknik keibu-bapaan yang sempurna, tak kurang juga buku-buku yang dibaca bagi meningkat ilmu, tak lupa juga contoh-contoh terbaik yang aku saksikan sendiri daripada segenap kehidupan, tapi apabila aku sendiri yang melakukan, umpama masih banyak kekurangan...

Apabila anak-anak ini kurang sihat dilanda penyakit, masa itu juga terkenang saat-saat aku hamburkan amarah kepada mereka... sesalan mengamit seketika... Ada juga aku mencuba cara kelembutan. Aku tahan api kemarahan dan aku balas dengan senyuman. Aku sorokkan tangan yang bakal aku layangkan dan aku gantikan dengan usapan. Namun ianya berjaya aku lakukan hanya untuk satu tempoh yang singkat, tidak berterusan.

Namun, walau apa pun yang berlaku, aku tahu yang kasih dan sayang aku pada mereka tak pernah berkurangan malah sentiasa bertambah. Gelagat dan kerenah mereka yang sentiasa berubah membuat aku tak kunjung sepi. Aku pernah terbayang akan mereka yang tidak dikurniakan kebahagian yang setara dengan aku. Kehidupan mereka mungkin sepi tanpa gelak ketawa si kecil. Rutin harian sudah tentu berbeza. Aku bersyukur pada-Nya...

"Janganlah Engkau tarik kewarasan aku dalam mengilap permata yang telah Kau kurniakan. Luaskanlah padang kesabaran yang telah Kau limpahkan kepadaku agar aku berjaya menjaga amanah Mu. Tingkatkanlah ketabahan ku andai Engkau saksikan kesukaran ku. Permudahkanlah usaha ku ini supaya kami semua Engkau berkati... Amin.. Ya Rabbal Alamin"


Azmi Nor


Friday, March 18, 2011

Cerita Dulu dan Kini – Kita Berbeza,Kita Serupa




Kesesakan jalan di Putrajaya ini nyata menguji ketahanan mental semasa aku memandu. Aku jadi kaget bila masa yang dijanjikan tidak dapat aku tepati. Aku cuba memecut di kala keadaan tidak mengizinkan.

Panggilan sahabat di pagi Jumaat yang tenang telah menjadualkan akuuntuk berada di KL Sentral pada petang ini. Perancangan mengejut ini bakal mengumpulkan sebahagian rakan-rakan seperjuangan ketika aku di UiTM satu masa dahulu. Setibanya aku di Putrajaya Sentral, Linda, Fa dan Ayu telah sedia menunggu aku yang ternyata kelewatan… ampun dan maaf aku pinta.

Pertemuan awal dengan 4 sahabat ini ternyata membawa senyuman lebar kepada semua. Gelak ketawa yang dulunya tidak asing bagi kami kini terdengar semula. Semasa menunggu ketibaan tren, sempat juga dibualkan topik-topik hangat yang sedang melanda suasana kerja kami.

Fatimah yang kini sudah beranak 3 tidak melepaskan peluang ini untuk berjumpa semula dengan kenalan lama walaupun Maryam terpaksa digendong bersama. Ketahuilah wahai Maryam, Ummi mu sangat menyayangi mu. Kami semua begitu senang dengan kehadiran si kecil ini dan aku yakin bahawa si kecil itu akan menjadi sebahagian daripada cerita yang kami semua lalui nanti.

KL Sentral ternyata berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Warga Kota Kuala Lumpur yang seperti tidak memahai erti penat bergerak pantas menuju ke destinasi masing-masing. Fesyen-fesyen terkini dapat dilihat, suara jual beli juga kedengaran. Adengan kotaraya terpapar jelas di depan mata.

Sementara menunggu kehadiran rakan-rakan lain, sempat juga aku pergi menunaikan kewajipan kepada yang Maha Esa. Aku berdoa agar persahabatan yang sekian lama terjalin ini akan diperkukuhkan dengan keberkatan dan kasih sayang daripadaNya…. Amin…

Wajah-wajah yang ditunggu tiba sudah. Lisa dan Murni telah menjelma maka cukuplah korum yang dinanti-nantikan. Makanan dipesan, perbualan diteruskan. Khabar ditanya, pengalaman dicerita, tak kurang juga rahsia dikongsi sama…. Dalam kehangatan borak bicara, tak lupa kami merancang agar pertemuan seb

egini dilakukan sekali lagi, tapi kali ini, skala yang lebih besar akan dirancang. Masing-masing mengakui bahawa persahabatan ini nyata memberi kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan. Aku bersetuju tanpa ragu…

Pertemuan pendek ini harus juga diakhiri, Maryam dan Aiman semakin resah, kasihan jiwa-jiwa kecil ini. Aku mendoakan agar mereka juga dikurniakan jalinan rakan dan sahabat yang sehebat rakan-rakan ku ini. Gambar diambil buat kenangan.

InsyaAllah kita bertemu lagi…

Azmi Nor


Tuesday, March 8, 2011

Cerita Baharu – Generasi Seterusnya

Generasi AKRAB baharu yang penuh dengan potensi!!


Awan mendung berkumpul sakan, pandangan mata tertumpu pada jalanraya yang lurus. Kereta ku pandu laju. Aku merancang agar aku tiba ke destinasi sebelum malam menjelma. Pada awalnya aku bercadang untuk bertolak esok hari, namun perancangan awal terpaksa aku batalkan.

Tibanya aku di Cherengin Hill Resort and Spa, Janda Baik hampir pukul 8.30 malam. Jalan kecil umpama ular dipalu, serta kekurangan lampu di sepanjang jalan, nyata memberi cabaran untuk aku mengemudi kenderaan ku. Seperti ianya telah tertulis, maka tiba juga aku ke destinasi yang dituju.

Para peserta lain telah pun tiba dan kelas pertama bakal bermula tidak lama lagi. Bilis yang telah tersedia untuk penginapan aku sepanjang program 4 hari 3 malam ini amat aku syukuri. Cukup serba serbi. Estela aku merenggang otot seketika, aku menuju ke dewan Chermai, berkumpul semula dengan para urusetia yang telah dilantik. Harapan dan kerjasama amatlah diharapkan bagi menjayakan program kali ini.

Sekali imbas pandangan mata aku lontarkan ke arah para peserta, kumpulan kali ini disertai oleh segenap lapisan susunan kakitangan Kementerian yang bakal menjalankan tugas sukarela ini. Kelas pertama dimulakan dengan baik. Penceramah bijak menggunakan strategi bagi mengawal rentak peserta yang kian letih. Gelak ketawa muncul sekali-sekala menunjukkan bahawa mereka mengikuti ceramah yang diberikan. Di akhir ceramah, ramai telah mengenal pasti, siapakah bewarna merah dan siapa pula jingga. Mengenal pasti elemen diri juga penting, sedar tak sedar, aku bangga yang aku adalah... ”API”....

Aktiviti yang dijalankan juga cukup untuk membuat para peserta tidak bosan dengan keadaan. Untuk mengenal setiap peserta bukanlah mudah, namun ”menulis satu perkara mengenai kawan anda” ternyata memulakan sesi pengenalan dengan baik. ”Macam Nobita”, ”suka senyum”,”garanng” dan macam-macam lagi kenyataan yang dilakarkan pada kertas di belakang masing-masing. Tidak kurang juga beberapa kenyataan yang kurang enak dinyatakan turut mengisi ruang-ruang kosong. Aku berharap para peserta dapat menerima segalanya dengan hati yang terbuka.

Hari kedua menyaksikan kehadiran Pengerusi untuk merasmikan program tersebut. Pengerusi yang banyak memberi sokongan dan dorongan nyata disenangi oleh semua. memberika cabaran yang amat dahsyat! Para peserta dalam proses pembelajaran terpaksa melawan keinginan mata yang semakin berat setiap minit yang berlalu. Para urusetia juga telah melalui masa-masa sebegini. Kelas di hari kedua berlarutan hingga ke petang. Aktiviti suai kenal diadakan sebelah malam. Para peserta yang tadi nampak letih mencari semangat dan kekuatan untuk terus beraktiviti. Usaha para urusetia membawa hasil di mana semua peserta dapat bersuai kenal dengan penuh ceria. Mengenali satu sama lain sememangnya penting bagi meneruskan ikatan ukhwah sejati.

Pagi di Cherengin memang menyegarkan, aktiviti ”morning walk” dimulakan dengan renggangan otot. Suasana aman damai kampung memang sukar kita kecapi di kota-kota besar. Udara nyaman disedut semahunya. Sambil berjalan, para peserta sempat berkenalan dengan lebih lanjut. Pengalaman juga diceritakan. Persahabatan yang terjalin diperkukuh lagi.

”Minah Indon manalah yang membebel kat depan tu” kata Cik Maemunah selaku penceramah terakhir bagi program ini. Beliau yang berasal dari Sabah nyata mempunyai kelebihan tersediri bagi memikat minat para peserta untuk bersamanya sepanjang sessi kendaliannya. Gelak tawa sering menyerlah. Cubaan demi cubaan yang dilakukan oleh para peserta untuk melakukan sendiri sessi kaunseling ternyata menguji minda.

Apa yang dapat aku saksikan adalah potensi yang ada pada kumpulan baharu ini. Generasi AKRAB yang terbaru ini sudah pasti akan mengorak satu langkah baru dalam lembaran usaha murni, membantu mereka yang memerlukan. Selamat Maju Jaya aku ucapkan. Ucapan terima kasih pada pihak urusetia kami terima dengan hati yang gembira...

Janda Baik kami tinggalkan....

Azmi Nor